Saturday, July 3, 2010

DUN Batu Burok Terus DiBantu

Oleh AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Lebih RM1 juta dibelanjakan bagi tujuan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelajaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk biarpun tidak dihargai oleh sebahagian penduduk kawasan itu.

Ini membuktikan kerajaan negeri tetap menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk yang tidak memilih dan memihak kepada wakil rakyat Barisan Nasional.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, ia bagi memastikan semua penduduk menerima keistimewaan serta hak yang sama khususnya dalam aspek pendidikan

“Walaupun tiada wakil BN (Barisan Nasional), kita melantik Pegawai Pembangunan DUN, Datuk Che Mat Jusoh untuk ambil cakna mengenai penduduk di kawasan Batu Buruk.” kata beliau.
Beliau menyatakannya pada majlis pengagihan e-Book dan bantuan pakaian sekolah bagi DUN Batu Buruk, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menteri Besar berkata dalam aspek pengagihan e-Book umpamanya, setiap pelajar Tahun Lima tanpa mengira latar belakang dan kawasan mereka layak menerima kemudahan pembelajaran itu setiap seorang.

Seramai 819 murid Tahun Lima melibatkan lima sekolah di kawasan DUN Batu Buruk mendapat e-Book, sementara 2,019 murid menerima baucar pakaian sekolah.

Ahmad Said yang berpegang kepada prinsip biarlah manusia tidak tilik pandang setiap kebaikan yang dibuat, setidak-tidaknya Allah swt yang tilik pandang terhadap segala kebaikan itu.

“Biarpun ada di kalangan kita yang tidak menghargai kebaikan dan segala kemudahan yang disediakan (kerajaan), saya tetap menjalankan fardu kifayah ini bagi memastikan rakyat Terengganu akan berubah menjadi lebih baik.

“Kita sanggup menyediakan peruntukan yang besar dalam bajet tahunan (Bajet 2010) untuk pendidikan anak Terengganu dan menjadi negeri ketiga di Malaysia selepas Sarawak dan Sabah, di mana sebanyak RM20 juta kita sediakan (untuk pendidikan),” katanya.

No comments:

Post a Comment