Monday, July 26, 2010

Faizal, Shu Kuan terima Anugerah Pelajaran Diraja

Faizal Miskam (tengah) dan Wong Shu Kuan (kanan) serta Nor Faizah Ismail menunjukkan anugerah yang diterima di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Jabatan Teknologi Maritim) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Faizal Miskam hanya meletakkan sasaran untuk menjadi salah seorang pelajar terbaik jabatan tersebut.

Dia berjaya mencapainya, namun tidak sama sekali menduga apabila turut dikurniakan Anugerah Pelajaran Diraja Bumiputera pada Konvokesyen UMT ke-8 di sini hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik yang menetap di Pandan Indah, Kuala Lumpur itu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.88.

Faizal, 25, menerima kurniaan itu daripada Canselor UMT, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Anugerah yang sama bagi kategori bukan bumiputera dikurniakan kepada Wong Shu Kuan, graduan Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) yang memperoleh PNGK 3.94.

"Sasaran saya sebelum ini hanya untuk meraih anugerah pelajar terbaik peringkat jabatan. Namun saya bersyukur dan sangat gembira menerima anugerah ini.

"Ini adalah hadiah kepada ibu bapa dan keluarga serta para tenaga pengajar serta rakan-rakan yang membantu saya selama ini," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen itu.

Pada konvokesyen dua hari yang berakhir esok itu, Faizal merupakan antara 1,577 graduan yang menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.

Sebelum mengikuti pengajian peringkat ijazah di UMT, Faizal menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Faizal memberitahu, pada masa ini, dia sudah bekerja sebagai Eksekutif Teknikal di sebuah syarikat perkapalan, Boustead Yachts di Langkawi.

Sementara itu, graduan Sarjana Muda Kaunseling, Nor Faizah Ismail menerima Anugerah Pingat Emas Canselor manakala Anugerah Lembaga Pengarah Universiti menjadi milik graduan Sarjana Sains (Komputer), Wan Mohd. Amir Fazamin Wan Hamzah dan Doktor Falsafah (Pemasaran) Nor Azman Mat Ali.

Seramai 10 orang menerima Anugerah Naib Canselor yang terdiri daripada Mohamad Redwani Mohd. Jasni, Wan Mohamed Adlan Wan Mohamed, Muhammad Muadz Khalil, Ahmad Zahim Ilman Othman, Arshafira Shazmeen Abu Bakar, Lionel Harith Sebastian Daraup, Siti Hajar Azlan, Siti Sharmila Mohamed Serajul, Norhasrul Mohamad dan Nir Fazlinda Alaudein.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment