Keputusan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menjadikan pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negeri bagi menggantikan minyak dan gas, sesuai dan tepat.
Kekayaan semula jadi Terengganu – pantai, pulau, laut, tasik, bukit, sungai, kraftangan, hasil pertanian dan budaya menarik – semuanya akan menyumbang kepada pendapatan negeri untuk tahun mendatang.
Kesemuanya itu perlu diteroka dan digunakan sebaik-baiknya untuk menggerakkan industri pelancongan ke tahap yang semaksimum mungkin.
Banyak pihak sinis apabila Ahmad Said mengatakan Terengganu tidak mampu lagi bergantung kepada minyak dan gas.
Kata mereka, jika wang royalti atau wang ihsan dihentikan, Terengganu akan muflis. Namun, apakah kerajaan Terengganu yang bertanggungjawab itu perlu berdiam diri dan menyerahkan kepada takdir.
Ahmad Said bukan pemimpin yang hanya mengharapkan wang bantuan Kerajaan Pusat dan wang ihsan semata-mata.
Beliau tahu ‘zaman wang mencurah-curah dari Pusat’ seperti tempoh 10 tahun antara 1999 hingga 2008 tidak akan berlaku lagi di Terengganu.
Malah kedudukan kewangan negeri sekarang 'mendedahkan segala-galanya' bagi Menteri Besar itu.
Tidak ada lagi wang ‘berlebihan’ atau ‘duit minyak’ yang boleh dibelanjakan mengikut keputusan sendiri (keputusan Menteri Besar seorang diri tanpa kelulusan Exco) dalam mebina bangunan atau jalan, jambatan dan sebagainya.
Ahmad Said perlu merancang dengan baik wang yang ada di kantung Perbendaharaan Negeri dengan bijak dan mengikut keutamaan demi rakyat Terengganu.
Dengan pengumuman semalam bahawa Terengganu akan dijadikan Ikon Pelancongan kerana memiliki pakej lengkap sebagai destinasi percutian menarik di negara ini, keputusan Ahmad Said yang dibuat hampir dua tahun itu bagaikan ‘orang mengantuk disorongkan bantal’.
Pastinya Kerajaan Negeri menerima dengan tangan terbuka keputusan Kerajaan Pusat itu, apalagi pada ketika pelbagai usaha dan program menggerak dan memajukan pelancongan Terengganu sedang dilaksanakan,
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit semalam berkata negeri itu memiliki pulau yang terdapat taman laut, pantai yang bersih serta tasik buatan terbesar di negara ini iaitu Tasik Kenyir.
"Kita dapati 38 peratus pelancong asing yang datang ke sini, sudah membuat pilihan untuk menjalani aktiviti ekopelancongan atau aktiviti pelancongan alam semula jadi, manakala 62 peratus lagi masih belum buat pilihan.
"Kalau mereka belum buat pilihan setelah sampai di sini, itu senang saja, kita boleh bawa mereka melawat Taman Tamadun Islam, ke pulau, tasik dan sebagainya, di mana yang mereka suka," katanya selepas meninjau dan melawat destinasi pelancongan di Terengganu selama tiga hari berakhir semalam.
Beliau berkata Terengganu juga memiliki landasan kapal terbang terpanjang di negara ini, tetapi ia tidak mempunyai jadual penerbangan antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong asing singgah di negeri ini.
"Kita cuma kurang tidak ada jadual penerbangan antarabangsa. Tetapi kalau jual Terengganu betul-betul sebagai Ikon Pelancongan, kita boleh tarik pelancong datang dengan penerbangan sewa khas seperti dari Korea, Taiwan, Jepun dan China," katanya.
Dawos berkata kerajaan sering mengadakan pelbagai promosi dan kerjasama dengan pengusaha pelancongan, selain kursus dan dialog dengan pengusaha rumah inap bagi menyediakan pakej menarik untuk pelancong.
Katanya kerajaan menyasarkan kira-kira 38 juta pengunjung asing ke negara ini pada 2020 dan menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion.
Beliau berkata sehubungan itu, lepasan universiti dalam bidang berkaitan seperti alam semula jadi, biologi, perhutanan dan pertanian, akan dilatih sebagai Pengarah Pelancong.
"Kita mahu tukar dan tingkatkan jawatan Pemandu Pelancong kepada jawatan Pengarah Pelancong," katanya.
Katanya setakat Mei lepas, industri pelancongan menjana pendapatan kira-kira RM13 bilion melalui ketibaan 9.8 juta pelancong asing ke negara ini.
No comments:
Post a Comment