Friday, July 9, 2010

Hutan Lipur Jambu Bongkok Dibangun Untuk Pelancongan Negeri

Ahmad Said meninjau kawasan Hutan Lipur Jambu Bongkok semalam. Kawasan ini akan menjadi tempat berlangsungnya Jambori Malaysia 2011. -Gambar Zulkifli Putra

Kerajaan negeri merancang membangunkan kawasan Hutan Lipur Jambu Bongkok di sini dengan memanfaatkan alam semula jadinya sebagai satu kawasan rekreasi dengan tarikan tersendiri dan menyumbangkan ke arah perkembangan pelancongan negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagaimanapun pembangunan itu tidak akan menjejaskan alam semula jadi dan hanya kawasan di pinggir hutan itu bakal dijadikan tapak mendirikan prasarana untuk kemudahan pengunjung terutama yang menjalankan program-program berkumpulan.

Menurut beliau, pada peringkat awal ini kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi penyediaan sebuah kawasan kem termasuk pejabat pengurusan, prasarana kem dan tandas.Katanya, sejumlah peruntukan akan disediakan untuk menaik taraf saluran paip dari Tanjung Jara, Dungun bagi menyediakan bekalan air yang mencukupi di sana.

"Pembinaan ini akan dibuat di luar hutan simpanan ini dan tidak akan melibatkan penebangan sebarang pokok.

"Ia hanya melibatkan kawasan seluas 21.6 hektar daripada jumlah keseluruhan hutan ini yang seluas 700 hektar," katanya selepas melawat Hutan Lipur Jambu Bongkok semalam.

Beliau berkata, selepas ia siap, kawasan itu akan menjadi tuan rumah kepada Jambori Pengakap Malaysia 2011 yang akan berlangsung pada 4 hingga 9 Jun tahun depan.

"Kira-kira 8,000 pengakap bersama 1,000 pegawai dijangka menghadiri jambori tersebut.

Pembinaan yang kita akan buat ini akan mampu menampung jumlah berkenaan pada satu-satu masa," katanya.

Beliau menambah, pemilihan hutan berkenaan sebagai lokasi jambori itu sangat bersesuaian kerana ia memiliki ciri menarik bersesuaian dengan corak kegiatan yang dijalankan oleh pengakap.

No comments:

Post a Comment