Saturday, July 10, 2010

INCEIF Berhasrat Tingkat Pengambilan Penuntut Bukan Islam

Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) berhasrat untuk meningkatkan peratusan penuntut bukan Islam, yang pada masa ini berjumlah 13 peratus, kepada 20 peratus, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Datuk Agil Natt.

Beliau berkata program Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) yang diperkenalkan pada 2006 telah menarik minat lebih 1,500 pelajar dari 69 negara.

"Lebih 40 peratus penuntut CIFP merupakan pelajar antarabangsa dari negara seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan Perancis," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara INCEIF dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu, semalam.

Agil, memeterai MoA itu bagi pihak INCEIF manakala Naib Canselor Datuk Prof Dr Alias Daud dan Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dr Mohd Afandi Muhamad mewakili UniSZA.

MoA itu merupakan usahasama kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan kerjasama, terutamanya dalam ilmu pendidikan perbankan dan kewangan Islam, terutamanya mengenai penyelidikan dan pembangunan, pertukaran maklumat dan latihan.

Agil berkata terdapat banyak peluang dalam bidang kewangan Islam kerana pertumbuhan dalam sektor itu pada tahun-tahun kebelakangan ini amat memberangsangkan.

"Di seluruh dunia, pengurusan aset-aset Islam bernilai AS$750 bilion dan dijangka mencecah AS$1 trilion menjelang 2010 dengan pertumbuhan tahunan sekitar 15 hingga 20 peratus untuk beberapa tahun akan datang.

"Dana Mutual Islam berkembang pada purata 23 peratus setahun dengan aset-aset bernilai AS$300 bilion. Terdapat juga pertumbuhan ketara dalam industri Takaful sebanyak 13 peratus setahun," katanya.

Jumlah institusi kewangan Islam telah berkembang kepada lebih 600 di lebih 75 negara.

"Kewangan aset-aset Islam dijangka berkembang kepada AS$1.6 trilion menjelang 2012 manakala sukuk global pada masa ini dianggarkan bernilai AS$153 bilion," katanya.

Beliau berkata kumpulan perbankan dan insurans kini amat berminat dalam kewangan Islam sebagai satu medium untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan masing-masing.

"Pusat-pusat kewangan tersohor seperti London, Hong Kong, Tokyo dan Singapura sudah mengambil langkah untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai pusat-pusat kewangan Islam yang unggul," katanya.

Mengenai MoA antara INCEIF dan UniSZA, Agil berkata lapan modul daripada Program CIFP Bahagian Pertama akan digunakan oleh universiti itu dalam program Bacelor Pengurusan Perniagaan (BBA) (Kewangan Islam) dan modul-modul ini akan ditawarkan kepada penuntut tahun akhir.

Mahasiswa UniSZA akan menerima dua sijil iaiatu BBA (Kewangan Islam) dengan Kepujian dan CIFP Bahagian Pertama.

Penuntut yang mempunyai sijil CIFP Bahagian Pertama layak untuk mengikuti program CIFP Bahagian Kedua yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai setaraf ijazah sarjana.

No comments:

Post a Comment