Tuesday, July 27, 2010

Jenayah Terengganu turun 25%

Indeks jenayah di negeri ini menurun sebanyak 25 peratus kepada 2,066 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 2,755 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC), Hamzah Mohd. Jamil menyifatkan penurunan agak ketara itu mencerminkan prestasi yang cemerlang pasukan berkenaan.

"Pencapaian ini sekali gus memperlihatkan penurunan 689 kes dan penurunan yang paling ketara melibatkan kes-kes jenayah harta benda dengan mencatatkan kadar penurunan sebanyak 28.8 peratus.

"Bagaimanapun, kes yang melibatkan jenayah kekerasan telah meningkat sebanyak 46 kes kepada 249 kes sehingga Jun lalu, " katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Rakan Cop Bersama Shell di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Shell Malaysia, Azman Ismail dan Penasihat Ekonomi Menteri Besar Terengganu, Datuk Mustafa Ahmad Merican.
Hamzah turut memberitahu, dalam tempoh yang sama, indeks jenayah seperti samun dan kecurian yang berlaku di stesen minyak seluruh negeri turun kepada sembilan kes berbanding 16 tahun lalu.

"Terdapat kes penerimaan wang palsu yang melibatkan stesen-stesen minyak yang mana pada 2009 terdapat empat kes dan tahun ini, sehingga Jun lalu hanya satu kes dilaporkan", jelasnya lagi.

Katanya, walaupun ketika ini, laporan kes-kes jenayah yang melibatkan stesen-stesen minyak seluruh negeri tidak begitu meruncing, beliau meminta semua pihak sama ada pelanggan, pengusaha serta kakitangan stesen mengambil serius aspek keselamatan.

''Bagi meneruskan usaha ke arah pencapaian sifar jenayah di stesen minyak, saya ingin menasihatkan supaya setiap kakitangan stesen minyak diberi maklumat tentang pentingnya kaedah bertindak dalam kecemasan bagi keselamatan diri dan harta benda syarikat serta pelanggan-pelanggan.

No comments:

Post a Comment