Monday, July 12, 2010

Kekalkan Kompleks Imtiaz

KOMPLEKS Imtiaz di Bukit Keluang, Besut ini kekal sebagai premis baru Sekolah Menengah Imtiaz.

UMNO Bahagian Besut mendesak kerajaan negeri supaya mengekalkan bangunan Kompleks Imtiaz bernilai RM40 juta di Bukit Keluang dekat sini sebagai premis baru Sekolah Menengah Imtiaz dan bukan untuk tujuan lain.

Ia merupakan salah satu usul pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong di Jerteh kelmarin yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Usul tersebut yang dibawakan oleh Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan UMNO bahagian itu, Mohamad Yusof diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara perwakilan.

UMNO bahagian itu mahu kompleks tersebut diserahkan kepada Imtiaz selaras dengan tujuan asal kerajaan negeri sebelum ini dan sejajar dengan jawapan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz yang hampir siap dibina di satu kawasan seluas 16 hektar di Bukit Keluang dijangka mula digunakan menjelang awal tahun depan.

Ia bagi menampung pengambilan lebih ramai pelajar sejajar dengan permohonan yang kian meningkat di samping menyediakan suasana persekitaran lebih kondusif berbanding sekolah sedia ada di Kampung Raja.

Ura-ura kompleks itu diserahkan kepada Yayasan Terengganu untuk dijadikan kolej menyebabkan UMNO Bahagian Besut mengambil keputusan mendesak kerajaan negeri supaya tidak mengubah tujuan itu.

Timbul kebimbangan di kalangan masyarakat termasuk tokoh pendidik dan politik sehingga timbul desakan bagi mengekalkan bangunan itu yang diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Besut akhir bulan lalu.

Imtiaz, sebuah sekolah yang diasaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh mula ditubuhkan 1999 dan diletakkan di bawah Yayasan Terengganu.

Ekoran prestasi cemerlang yang ditunjukkan, Imtiaz mula dikembangkan ke Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu dengan sistem pelajaran berfokuskan al-Quran, pembangunan sahsiah dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar seimbang.

Ia bermula dengan tujuh orang pelajar dengan matlamat sebagai sekolah agama bestari yang cemerlang dalam bidang agama dan akademik serta menguasai sains dan teknologi. Ia pernah muncul sebagai Sekolah Menengah Agama Terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Kejayaan terbaru yang dicatatkan oleh sekolah yang memberi penekanan kepada melahirkan generasi 'Ulul Albab' itu adalah memperolehi Penarafan Kendiri Sekolah dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia daripada 2,198 buah sekolah seluruh negara.

No comments:

Post a Comment