Polis menahan seorang lelaki bersama temannya, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga berusia 15 tahun, dipercayai terlibat dengan kes bunuh seorang remaja lelaki di Kemaman 14 Jun lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan bersama temannya itu ketika sedang bersembunyi di sebuah pondok dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Seberang Tayor, Hilir, Air Putih, Kemaman kira-kira pukul 3 pagi kelmarin.
"Dalam serbuan itu, polis telah merampas sebilah pisau bersarung sepanjang 28 sentimeter dalam sebuah beg galas yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa yang dipercayai bermotifkan cemburu.
"Selain itu, polis turut menemui sebanyak 160 pil kuda dalam beg pinggang lelaki berkenaan yang kita percaya dia turut terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di Kemaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bilik media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini Isnin.
Mohd Shukri berkata, siasatan awal polis mendapati sejurus selepas kejadian bunuh itu, suspek berkenaan telah melarikan diri bersama temannya itu berserta adik lelakinya berusia 14 tahun.
Sepanjang tempoh itu, katanya mereka telah bersembunyi di Pasir Putih, Kelantan yang bersempadan dengan Besut sebelum membiarkan adik temannya itu balik bersendirian menaiki bas ke Kemaman pada 28 Jun lalu.
"Remaja lelaki itu kemudian telah ditahan bagi membantu siasatan dan hasil soal siasat kita telah menjalankan gerakan mencari individu yang terlibat menyembunyikan suspek dan kedua-dua remaja itu," katanya.
Beliau berkata, remaja lelaki itu kini telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala suspek lelaki berkenaan dan pelajar perempuan itu ditahan reman bermula semalam sehingga 10 Julai ini.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi 14 Jun, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman di rusuk belakang di sebuah pondok buah-buahan di Pasir Gajah, Jalan Air Puteh, Kemaman.
No comments:
Post a Comment