Tuesday, July 6, 2010

Orang ramai dinasihat waspada pembanci palsu

Orang ramai dinasihatkan lebih waspada dengan kemungkinan muncul 'pembanci palsu' yang cuba mengambil kesempatan daripada program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 yang bermula hari ini.

Pengarah Perangkaan Negeri Terengganu, Mohd. Suhaimi Mohd. Yunus berkata, berdasarkan pengalaman lalu, ada sesetengah pihak telah dikesan menggunakan ruang tersebut untuk mendapatkan maklumat sulit daripada penduduk bagi kepentingan lain.

Katanya, pembanci yang dilantik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia biasanya hanya mendapatkan maklumat statistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak isi rumah serta penduduk selain maklumat mengenai stok perumahan dan corak pemilikan.

"Ada sesetengah pihak yang sanggup menyamar sebagai 'pembanci palsu' semata-mata untuk mendapatkan butiran sulit penduduk seperti nombor akaun bank dan kad pengenalan walhal butiran itu tidak perlu diberikan.

"Apa yang kita bimbang ialah butiran tersebut akan disalah guna oleh pihak terbabit untuk kepentingan mereka tanpa diketahui oleh pemiliknya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Tambahnya, 'pembanci palsu' itu biasanya tertumpu di kawasan kampung dan kawasan-kawasan terpencil dengan menjadikan golongan warga emas sebagai sasaran utama.

"Biasanya penduduk yang tinggal di kawasan terpencil mudah menjadi mangsa penipuan kerana mereka tidak diberikan penerangan lengkap mengenai program Banci Penduduk dan Perumahan ini.

"Mereka akan memberikan semua maklumat sulit termasuklah mendedahkan nombor pin keselamatan akaun bank," ujarnya.

Justeru, Suhaimi yang juga Penolong Pesuruhjaya Teknikal Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mengingatkan orang ramai agar memberi maklumat hanya kepada pembanci berdaftar yang memegang kad pengenalan pembanci.

Dalam masa sama, beliau turut berharap orang ramai dapat memberi kerjasama kepada pembanci berdaftar sepanjang program tersebut berjalan bermula hari ini sehingga 22 Ogos depan.

Katanya, denda boleh dikenakan kepada individu yang enggan memberi kerjasama di bawah Akta Banci 1960.

"Bagi Terengganu sahaja, kita telah melantik seramai 900 tenaga kerja secara sambilan bagi jawatan penyelia dan pembanci untuk melakukan bancian ke atas hampir 1.1 juta rakyat negeri ini," tambahnya.

No comments:

Post a Comment