Tuesday, July 27, 2010

Kemajuan Bangsa,Negara Terletak Kepada Kecemerlangan Ilmu

Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA menyampaikan ijazah sarjana muda kepada Mohd Azrul (kiri). Foto BERNAMA

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah bertitah kemajuan bangsa dan negara terletak kepada kecemerlangan ilmu.

Tuanku Nur Zahirah yang juga Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertitah, kemajuan sesebuah negara juga bergantung kepada keupayaan modal insan yang berkepakaran serta mempunyai daya inovasi dan kreativiti yang tinggi.

"Justeru selaras dengan kehendak negara, moto universiti 'Ilmu Demi Faedah Insan', pada fikiran beta, adalah sangat menepati dengan hala tuju pembangunan negara yang berasaskan pengetahuan dan inovasi serta pembangunan modal insan," titah baginda.

Baginda yang juga juga merupakan Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertitah demikian sempena istiadat pemasyhurannya sebagai Canselor UniSZA dan konvokesyen ke-2 universiti itu di Kuala Terengganu, semalam.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke majlis itu, dan yang turut sama hadir ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Baginda seterusnya mengingatkan graduan apabila menjadi orang yang berjaya, agar jangan lupa untuk menyumbang kembali kepada universiti dalam apa cara sekalipun bagi menjamin kesinambungan prestasi UniSZA meningkat ketahap yang lebih tinggi.

Pada konvokesyen kedua Unisza itu 1,003 graduan yang terdiri daripada graduan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi seramai 49 orang, Fakulti Informatik (48) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (500), Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (212).

Manakala Fakulti Pertanian dan Bioteknologi (23), Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (38), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (71) dan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (62).

No comments:

Post a Comment