Krisis keputihan yang mengancam terumbu karang di kawasan perairan Semenanjung Malaysia tidak menjejaskan kawasan pemakanan penyu.
Pensyarah Jabatan Sains Marin Universiti Malaysia Terengganu Dr Juanita Joseph berkata ini kerana Penyu Agar memakan rumpai laut manakala Penyu Karah pula banyak memakan karang lembut dan krustasea.
Katanya kawasan pemakanan penyu akan terjejas sekiranya jika bilangan krustasea berkurangan di kawasan tersebut.
"Pada masa sekarang, ancaman keputihan terumbu karang di beberapa pulau termasuk di perairan Semenanjung Malaysia tidak menjejaskan kawasan penyu," katanya di Sandakan hari ini.
Dalam laporan sebuah akhbar nasional bulan lepas menyatakan semua pulau di Terengganu termasuk Redang yang menjadi kawasan pemakanan penyu antara kawasan kritikal mengalami fenomena itu.
Bagaimanapun, krisis keputihan itu tidak dialami di perairan Sabah terutama di kawasan tumpuan selam skuba di Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di Semporna yang juga menjadi kawasan pemakanan penyu.
Menurut Dr Juanita, fenomena itu juga tidak mendatangkan kesan kepada kawasan pemakanan penyu di Pulau Redang.
Malah, katanya, jumlah penyu mendarat untuk bertelur di pulau itu didapati bertambah biarpun populasi penyu naik bertelur dan ke kawasan pemakanan penyu adalah sangat kecil.
Beliau berkata krisis keputihan itu disebabkan oleh banyak perkara seperti pencemaran tetapi yang paling teruk adalah disebabkan oleh kenaikan suhu laut.
Katanya ini berlaku pada kebanyakan terumbu karang keras dengan ia bersimbiosis dengan sejenis alga yang dipanggil 'Zooxathellae'.
"Warna hijau pada terumbu karang itu sebenarnya adalah Zooxanthallae. Bila alga itu mati, terumbu karang akan mati dan warna terumbu karang akan bertukar jadi warna putih.
"Ekosistem terumbu karang adalah satu ekosistem yang produktif. Jika terumbu karang mati, maka semua organisme yang ada di kawasan tersebut akan terjejas, terutamanya ikan," katanya.
Dr Juanita berkata krisis keputihan adalah fenomena yang sering kali berlaku dan saintis sendiri tidak mengetahui cara untuk mengatasi masalah itu.
Katanya terumbu karang yang mati biasanya akan pulih semula tetapi akan mengambil masa yang panjang.
No comments:
Post a Comment