Friday, July 16, 2010

Pasukan Pancaragam SMJK Chung Hwa Wei Sin ke Cabaran Dunia

Lima pasukan pancaragam terbaik yang dipilih pada Pertandingan Pancaragam Kebangsaan Malaysia (NATCOMP) 2010 semalam bakal membawa cabaran negara pada pertandingan peringkat dunia, akhir Julai ini.

Lima sekolah terpilih daripada 10 sekolah yang bertanding ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa, Alor Setar, Kedah, SMK St John, Kuala Lumpur, SMJK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, SMK St Joseph, Kuching dan SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak.

Kesemua sekolah terbabit akan bertanding di kejohanan peringkat dunia pada 25 sehingga 31 Julai ini di Selangor dan Johor Bahru.

Pada kejohanan peringkat kebangsaan yang berlangsung hari Khamis, SMJK Keat Hwa muncul johan dengan mengumpul 88.95 markah di depan SMK St John yang mendapat 87.75 markah selaku naib johan.

Kedua-dua sekolah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan RM3,000 beserta piala iringan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Wakil SMJK Keat Hwa, Lam Siew Yong ketika ditemui berkata kejayaan itu sangat menggembirakan dan bakal menjadi inspirasi untuk membawa cabaran di peringkat dunia nanti.

Wakil pasukan SMK St John Syufri Abdul Khalid pula berkata kejayaan mereka adalah merupakan satu pencapaian yang berbaloi setelah melakukan persiapan rapi untuk berdepan dengan kejohanan itu.

"Kami gembira dan memang memilih rangkaian lagu tradisional seperti Lenggang Mak Limah dan Bila Larut Malam sebagai tarikan persembahan pada hari ini.

"Kami juga akan mengekalkan lagu tradisional untuk cabaran peringkat dunia nanti dalam usaha memperkenalkan identiti Malaysia di mata dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment