Friday, July 16, 2010

Saga Akan Dipertingkat, Kata Akauntan Negara

Sistem Perakaunan Berkomputer Standard (Saga), bagi membolehkan badan berkanun menyediakan penyata kewangan dengan lebih cepat, tepat dan berkesan, akan dipertingkat, kata Akauntan Negara Datuk Mohd Salleh Mahmud.

"Pada masa depan, sistem itu akan dipertingkat supaya agensi-agensi dapat mengemukakan penyata kewangan masing-masing dengan lebih cepat, mungkin pada Februari, untuk diaudit.

"Bagaimanapun, bagi sistem hala tuju Saga yang baharu itu nanti, mana-mana badan berkanun yang telah mempunyai sistem perakaunannya sendiri, perlu mematuhi kriteria Saga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek dan anugerah agensi terbaik Saga Fasa I dan Fasa II, di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Salleh berkata sebelum Saga diperkenalkan pada Jun 2005, ada badan berkanun mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun untuk menyediakan laporan untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata ekoran kelewatan itu, Saga diperkenalkan dan hasilnya sebahagian badan berkanun mampu mengemukakan penyata kewangan kepada Ketua Audit Negara pada Mac atau empat bulan lebih awal.

Katanya penggunaan Saga membantu pengurusan mendapatkan maklumat dengan tepat serta cepat untuk membantu membuat keputusan yang efisyen dari segi proses pembayaran dan pembekalan kepada kontraktor.

Pada majlis itu, 10 agensi Saga Fasa II menerima anugerah Saga dengan Unisza muncul penerima anugerah agensi terbaik manakala bagi Fasa III, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggunguli agensi terbaik.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza Datuk Zolkipli Abdul dan Naib Canselor Unisza Datuk Prof Dr Alias Daud serta Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Wan Selamah Wan Sulaiman.

No comments:

Post a Comment