Friday, July 16, 2010

MB Puas Hati Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Kemaman

Solat sunat bersama-sama nelayan Pantai Kijal memohon pertolongan Allah. - Gambar Zulkifli Putra.

'Program selama tiga hari dua malam itu menemukan beliau dengan 3,000 guru, 2,000 kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, 2,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, 2,000 pesilat selain Orang Asli, remaja dan pemimpin politik tempatan...'

Oleh Aqil Farhan Rafiqin

Secara keseluruhannya lawatan kerja tiga hari Menteri Besar ke Daerah Kemaman 9 hingga 11 Julai lalu amat berjaya.

Difahamkan, Datuk Ahmad Said menyatakan perkara itu pada satu mesyuarat pagi membabitkan pegawai tinggi kerajaan negeri di Wisma Darul Iman minggu ini.

Beliau juga puashati dengan program yang disusun sepanjang lawatan itu.
Apakan tidak, program selama tiga hari dua malam itu menemukan beliau dengan 3,000 guru, 2,000 kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, 2,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, 2,000 pesilat selain Orang Asli, remaja dan pemimpin politik tempatan.

Biarpun perlu menghadiri program bermula awal pagi dan berakhir tengah malam, beliau tidakpun menunjukkan keletihan atau jemu bertemu rakyat dan pengundinya.

Malah baginya, lawatan dua hari itu dipergunakan sepenuhnya bagi menjamin penduduk Kemaman mendapat manfaat semaksimum mungkin daripada pertemuan, perbincangan serta gerak kerja bersama rakyat, penjawat awam dan pemimpin masyarakat setempat.

Antara rasmi Menteri Besar pada 9 Julai bermula dengan program gotong-royong bertempat di Masjid Mentauh, Titian Berayun, pukul lapan pagi.

Selepas solat Jumaat, Ahmad Said menghadiri majlis solat hajat kerana kemesorosotan hasil tangkapan nelayan bertempat di Surau Kampung Che Wan, Kijal.

Beliau dan isteri To' Puan Norliza Mahmud kemudian bersama-sama kakitangan Pejabat Dun, Wanita, Puteri DUN Kijal bermain boling bertempat di MesraMall, Kerteh.

Acara rasmi pada 10 Julai pula, Menteri Besar hadir pada sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman bertempat Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada pukul 10 pagi.

Kemudian pada 3 petang, Menteri Besar Terengganu hadir pada Program Himpunan Pendekar APMT bertempat Taman Bandar Chukai, Kemaman.

Sementara pada 8.30 malam, Ahmad Said hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Orang Asli Kampung Sungai Pergam bertempat di Sungai Pergam.

Hari ketiga lawatannya ke Kemaman pada Ahad (11 Julai 2010) diteruskan dengan kehadiran beliau pada majlis perjumpaan dengan pegawai Kakitangan Negeri dan Persekutuan Daerah Kemaman bertempat di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada 8.30 pagi.

Pada pertemuan ini, Ahmad Said berjanji akan terus turun padang melakukan pemeriksaan mengejut ke jabatan-jabatan kerajaan berasaskan aduan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang diterima daripada orang ramai.

Beliau mengingatkan sekiranya terbukti penjawat awam melakukan kesalahan seperti yang didakwa pengadu, mereka tidak akan dilindungi dan perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Menurutnya, beliau ada menerima aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laporan bahawa terdapat perbuatan salah guna kuasa dalam beberapa jabatan kerajaan negeri.


Beliau juga menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kemaman di Bilik Gerakan Daerah.
Menteri Besar kemudian menghadiri penyampaian dana Bakti Remaja DUN Kijal bertempat di Dewan Sivik Bukit Kuang, Kijal pada 2 petang sebelum ke Dewan Sivik Kijal pada 3 petang untuk tujuan yang sama .

Selain acara rasmi, beliau mengambil peluang acara turun padang ini untuk program parti seperti pada 9 Julai jam 9 malam beliau menghadiri Mesyuarat Penyelarasan UMNO Dun Kijal di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kijal selain pagi esoknya, mengadakan pertemuan di kediamannya di Teluk Kalong dengan individu dan pemimpin masyarakat setempat.

Malah, pada hari terakhir lawatannya pada sebelah malam, beliau turut menyampaikan Anugerah Cemerlang Pengerusi JKKK Kemaman.

Pada hakikatnya, lawatan yang padat dengan acara itu membuktikan Ahmad Said mengotakan janjinya untuk menjadi contoh kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain yang sesetengahnya agak liat untuk mengatur program dengan rakyat.

Tidak kiralah sama ada ia membabitkan nelayan, Orang Asli atau orang kampung, bagi Ahmad Said, mereka sama pentingnya dengan pegawai kerajaan.

Malah Ahmad Said tidak membezakan antara ADUN, pemimpin parti serta penjawat awam. Mereka yang liat ‘turun padang’ ditegurnya.

Malah, beliau turut memberikan amaran untuk mengambil tindakan sewajarnya jika mereka terus bersikap mengabaikan rakyat.

Dengan sikap dan teladan Ahmad Said itu, tidak wajar untuk pihak-pihak tertentu – khususnya ADUN - menjalankan tugas sambil lewa.

Jika Ahmad Said boleh melakukannya, kenapa ada sesetengah ADUN yang masih merasa selesa dan merasakan rakyat tetap akan terus menyokong mereka?

Siapa sebenarnya – Ahmad Said atau ADUN berkenaan – yang dikatakan boleh menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Terengganu jika berasaskan kepada ‘kemesraan dengan rakyat’ dan ‘berkhidmat untuk rakyat’.

Kepada ADUN yang masih merasa selesa atau pegawai kerajaan yang terus menerus menyeleweng, masa sudah tiba untuk mereka melihat, menilai dan mencontohi Menteri Besar mereka – betapa slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan itu diterjemahkan secara jelas oleh Ahmad Said di mata, di hari dan gerak kerja yang semuanya bertujuan cakna rakyat!


Ahmad Said bertemu penjawat awam Daerah Kemaman - Gambar Zulkifli Putra.

No comments:

Post a Comment