Thursday, July 22, 2010

MB sampaikan e-Book di DUN Paka & DUN Bukit Besi Hari Ini

"Mesti dapat 5A ya..." demikian pesanan Menteri Besar kepada pelajar di DUN Rhu Rendang pada majlis di Sekolah Kebangsaan Gong Nangka baru-baru ini.

Hari ini, Menteri Besar Terengganu akan meneruskan majlis penyampaian e-Book dan bantuan pakaian sekolah kepada pelajar seperti di lakukan di daerah Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini.

Kini giliran pelajar di daerah Dungun, iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan Bukit Besi pula yang akan menerimanya.
Datuk Ahmad Said dijangka menyampaikan e-Book dan Bantuan Pakaian Sekolah DUN Paka bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Paka, Paka, Dungun pada jam 10.30 pagi.

Pada jam 3 petang, Menteri Besar dijangka hadir pada Majlis Penyerahan e-Book dan Bantuan Pakaian Sekolah DUN Bukit Besi bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi, Dungun.

Apa yang menarik dalam penyampaian e-Book ini, Ahmad Said sedia berdiri berjam-jam untuk bertemu murid dan penjaga mereka (ibu atau bapa) dengan satu pesanan. “Dapat 5A Ya” atau “Mesti dapat 5 A”.

Beliau tidak pun memberi pesanan sokong kerajaan atau ‘undi BN’.
Selain itu yang pasti Kerajaan negeri begitu adil dan tidak ambil kira faktor sokongan dan politik dalam memberikan e-Book kepada pelajar.

Adalah tidak benar jika ada yang menuduh kerajaan negeri 'menganaktirikan’ penduduk di DUN yang dimenangi pembangkang sama dalam daerah Marang, Hulu Terengganu mahupun Kuala Terengganu.

Walaupun BN kalah di tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu (Wakaf Mempelam, Batu Burok dan Ladang), kalah dua dalam Parlimen Marang (Rhu Rendang dan Bukit Payong) dan satu masing-masing dalam Parlimen Dungun (Sura), Hulu Terengganu (Manir) dan Seberang Takir Bukit Tunggal), semuanya bukan perkiraannya.

Yang penting dan ditekankan ialah ibu bapa wajar mendidik anak mereka agar menjadi pelajar terbilang.

Apabila mereka berjaya, ibu bapa akan menumpang kejayaan mereka dan tidak mungkin ‘anak PPRT yang masuk universiti’ akan kembali hidup sebagai penerima PPRT.

e-Book selain mendekatkan pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah dengan Menteri Besar dan kerajaan, turut mendekatkan mereka yang selama ini ‘berjauhan’ dengan Menteri Besar.

Penyampaian e-Book mendedahkan betapa ADUN Barisan Nasional (BN) yang selama ini 'agak jauh' daripada Ahmad Said umpamanya Datuk Rosol Wahid (ADUN) turut hadir dan duduk dalam majlis penyampaian e-Book kepada pelajar.

Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu yang kemudian beriringan dan duduk di sebelah Ahmad Said pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman pada 28 Jun 2010 itu amat melega dan menggembirakan semua pihak.

Kemesraan tetap ada antara Rosol dan Ahmad Said.

Sikap sebegini amat disanjungi kerana demi kepentingan pelajar dan pelajaran, ADUN yang sebelum ini bertelingkah boleh duduk dalam satu majlis untuk tujuan sama-sama memberi perangsang kepada pelajar dan ibu bapa menjayakan misi Anjung Ilmu di negeri ini.

Kerana itu penyampaian di Paka dan Bukit Besi hari ini turut menjadi menarik, apakah ADUN Paka, dan ADUN Bukit Besi akan turut hadir?

Sebahagian ibu bapa dan anak-anak yang menerima e-Book di DUN Bukit Payong.

No comments:

Post a Comment