Thursday, July 22, 2010

Kekang Segera Jenayah Remaja


Isu remaja yang terbabit dengan dadah dan salah laku jenayah, walaupun jumlahnya agak kecil tetapi membimbangkan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan menegaskan, statistik yang dipaparkan ini agak membimbangkan kerana ia melibatkan pelajar sekolah dan IPT (institusi pengajian tinggi).


Beliau melihat masalah seperti ini memerlukan kerjasama erat ibu bapa dengan pengawasan yang cukup.

Sementara pendapat serupa disuarakan Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Inspektor Norman Ghani apabila mengatakan: “Masalah ini mampu dikurangkan jika mendapat kerjasama masyarakat terutama ibu bapa yang sentiasa memantau anak mereka.”

Hakikatnya, berita mengenai seramai 191 pelajar di Terengganu telah ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana terlibat dalam pelbagai kes jenayah narkotik memerlukan perhatian semua pihak, khususnya ibu bapa.

Amat jelas usaha padu perlu dilakukan oleh semua pihak – ibubapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah dan sebagainya – bagi mengekang jenayah berkeaan.

Mohd Shukri mendedahkan, narkotik atau dadah, seramai 71 pelajar ditangkap kerana terlibat dalam jenayah lain seperti mencuri motosikal dan harta benda.

Di daerah Besut misalnya, bilangan remaja dan belia yang terlibat dengan salah laku jenayah di agak tinggi berdasarkan kira-kira 95 peratus tahanan lokap di balai polis di daerah ini berusia antara 13 hingga 30 tahun.

Norman berkata, kadar jenayah indeks enam bulan pertama tahun ini turun sebanyak 27 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu, namun penglibatan golongan muda dalam salah laku jenayah masih tinggi.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Peperiksaan Awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM) 2009 kepada 13 pelajar di Masjid Kampung Gong Mak Som dekat Alor Lintah, Jertih.

Program itu anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan hasil sumbangan individu di kampung tersebut.

Hadir sama, Penghulu Mukim Kubang Bemban, Wan Rahim Wan Daud dan Pengerusi JKKK, Abdul Latif Ibrahim.
Yang membimbangkan golongan itu terlibat dalam beberapa salah laku jenayah seperti curi motosikal, pecah rumah dan masalah sosial.

Norman berkata, trend mencuri motosikal di kawasan kediaman yang kerap berlaku sebelum bertukar di kawasan awam pula sejak kebelakangan ini.

“Pencuri ini sangat pakar melakukan kerja mereka, hanya menggunakan pemutar skru yang diubah suai, mereka boleh mencuri sesebuah motosikal dalam tempoh tidak sampai satu minit.

“Sebab itulah pemilik motosikal dinasihatkan menggunakan kunci tambahan, sekurang-kurangnya melambatkan penjenayah mencuri motosikal,” katanya.
Selain itu, kes rogol yang dilaporkan juga meningkat apabila dalam tempoh enam bulan tahun ini, hampir 20 kes rogol dilaporkan.

Kebanyakan kes rogol itu membabitkan remaja perempuan bawah umur berpunca daripada pergaulan bebas.

“Ketika saya menjalankan pemeriksaan di dalam telefon bimbit mangsa, ada yang menyimpan video klip lucah, malah mereka berkomunikasi dengan kenalan (suspek) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan perkataan lucah,” katanya.

No comments:

Post a Comment