Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan menubuhkan pusat inovasi di beberapa tempat terpilih selaras dengan hasrat kerajaan membudaya inovasi di kalangan rakyat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata dengan kerjasama beberapa pihak seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), pusat inovasi berkenaan akan dibuka di kolej komuniti dan Pusat Giat Mara.
"Projek perintis akan bermula September hingga Disember ini dan jika ia membuahkan hasil, ia akan dimulakan awal tahun depan.
"Buat permulaan beberapa lokasi luar bandar seperti di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak akan dipilih untuk projek perintis dan jika berjaya, ia akan dibuka di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) Zon Timur di Kuala Terengganu, semalam.
Karnival itu dirasmikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud. Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Beliau berkata pusat inovasi itu bertujuan memberi tempat kepada mereka yang berminat terutama lepasan sekolah yang mempunyai idea inovasi atau reka cipta tetapi berada di luar institusi pengajian, meneruskan penghasilan kreatif mereka.
"Pusat itu juga akan menguruskan soal paten atau hak milik dan pemasaran produk yang dihasilkan nanti. Pusat Inovasi ini akan menggunakan kepakaran tempatan dan jika perlu, kepakaran dari luar akan dibawa masuk kerana kita nak pastikan kemajuan inovasi kita selari dengan kemajuan dunia," katanya.
Karnival Malaysia Inovatif Zon Timur dengan tema Pembangunan Lestari itu akan berlangsung selama dua hari mulai semalam di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).
Pelbagai program diadakan pada karnival anjuran bersama Mosti dan kerajaan negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan serta Rakan Inovatif itu seperti pameran produk inovasi ciptaan rakyat tempatan, Malam Kreativiti Muzikal, pertandingan Inovasi peringkat Zon Pantai Timur, ceramah inovasi dan program Cabaran Angkasawan Malaysia.
Turut diadakan ialah larian angkawasan yang memberi peluang pemenang menghadiri sesi latihan di peringkat kebangsaan dan pemenang utama terpilih untuk menyertai lawatan ke Russia atau melanjutkan pelajaran dalam bidang sains angkasa dan melihat pelancaran roket dari Kazakhstan.
No comments:
Post a Comment