Saturday, July 31, 2010

Piala Monsun 2010 Dijangka Tambah 30 Peratus Pulangan Pelaburan

"Kejohanan itu jelas sebagai pemangkin ekonomi bagi pelancongan dan sukan tempatan, khususnya bagi Terengganu di mana penganjuran kejohanan musim Monsun kini dilihat sebagai satu peluang dan bukan lagi ancaman, selain menarik peminat dari seluruh dunia dan pulangan ekonomi yang dihasilkan." - Peter Gilmour

Kejohanan tahunan Piala Monsun di Terengganu, yang merupakan acara sukan antarabangsa kedua terbesar di Malaysia, bersedia mencatat peningkatan 30 peratus pulangan daripada pelaburan di segi acara, media dan penjenamaan tahun ini berbanding pencapaian RM539 juta pada tahun lepas.

Penasihat Kejohanan dan tiga kali juara dunia Match Race Sailing Datuk Peter Gilmour berkata kos penganjuran Piala Monsun itu menelan kira-kira RM30 juta, di mana 60 peratus daripadanya dibiayai oleh kerajaan dan bakinya dibiayai sektor swasta.

Beliau berkata acara dunia yang amat mengujakan itu telah menjana pulangan 26 kali pelaburan berbanding tahun lepas, menjadikan acara reben biru kejohanan pelayaran itu satu penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Acara itu juga telah menjana kesan limpahan bagi Terengganu seperti pekerjaan di musim tengkujuh yang menyulitkan.

"Pada asasnya, kesemua kos digunakan untuk mengendali dan menganjur kejohanan itu, dan kami mendapat manfaat luar biasa yang hebat seperti pengiklanan tambahan.

"Tiga puluh peratus merupakan sasaran purata yang telah ditetapkan berasaskan tahun ke tahun. Sasaran itu meningkat tahun ke tahun melebihi RM100 juta," katanya.

Piala Monsun 2009 telah menarik 101,794 penonton, mewujudkan 1,722 pekerjaan dan menjana nilai media cetak RM24 juta.

"Terdapat banyak limpahan ekomomi di negeri itu.

Ketibaan penumpang di lapangan terbang meningkat daripada 300,000 setahun kepada empat juta, manakala stadium sukan dan dua hotel baharu dibina di negeri itu.

"Semua ini berlaku ketika musim Piala Monsun itu.

"Dan, sudah tentu bukannya kami tidak bercita-cita untuk cuba meningkatkan jumlah itu, tetapi ia juga bergantung kepada keadaan," kata Gilmour mengenai acara yang diwujudkan di Malaysia pada 2005 dan telah menjadi sebahagian daripada kalendar kejohanan dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

Acara itu juga salah satu kejohanan paling penting World Match Racing Tour dan dianggap Formula One dalam pelayaran yang meletakkan Terengganu pada peta dunia bagi kejohanan sukan utama.

Piala Monsun, iaitu projek Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sejak tahun lepas, merupakan kejohanan pelayaran anjuran Negeri Terengganu.

Gilmour berkata kejohanan itu jelas sebagai pemangkin ekonomi bagi pelancongan dan sukan tempatan, khususnya bagi Terengganu di mana penganjuran kejohanan musim Monsun kini dilihat sebagai satu peluang dan bukan lagi ancaman, selain menarik peminat dari seluruh dunia dan pulangan ekonomi yang dihasilkan.

Malaysia mempunyai kontrak lapan tahun sebagai tuan rumah Piala Monsun, dianjur oleh T-Best Events Sdn Bhd, pengajur acara rasmi bagi kejohanan itu.

Bagi tahun ini, beliau berkata fokusnya ialah untuk mewujudkan kesan ekonomi yang lebih besar.

"Apa yang kami buat sekarang ialah menyasarkan bidang seperti menarik lebih ramai penonton dan menjana perolehan yang lebih tinggi di negeri itu. Jadi, apabila ia mula dipromosikan di pasaran tempatan, kami berharap dapat meningkatkan impak itu," katanya.

Gilmour berkata acara itu juga satu platform untuk membangunkan bakat dan kemahiran tempatan.

Tahun lepas, 23,359 minit disiarkan menerusi 24 penyiar, mencapai 2.1 bilion isi rumah di seluruh 184 negara.

Pada 2008, 12,900 minit disiarkan di televisyen menerusi 18 penyiar, mencapai 1.3 bilion isi rumah di 137 negara.
Piala Monsun tahun ini akan diadakan antara 30 November dan 5 Disember.

Bernama

No comments:

Post a Comment