Tuesday, July 20, 2010

Muzik Gamelan Bergema Di Terengganu Jumaat Ini

Jika anda peminat muzik gamelan, berkunjunglah ke Festival Gamelan Sedunia Terengganu di Dataran Shahbandar selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Ramai tokoh dan pemuzik gamelan dari seluruh dunia akan berhimpuan di sana untuk mengasyikkan anda.

Antara mereka ialah jurulatih gamelan dunia Prof Dr I Wayan Dibia dari Bali, Prof Dr Rahayu Supanggah dari Jawa dan Bob Khalil dari Malaysia.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Yusof Abdullah berkata tiga kategori kumpulan akan membuat persembahan.

"Kumpulan pertama terdiri daripada kumpulan gamelan profesional, kedua dari kumpulan institusi pengajian tinggi (IPT) dan ketiga kumpulan pelajar sekolah," katanya kepada Bernama.

Yusof berkata setakat ini 15 kumpulan dari dalam dan luar negara sudah mengesahkan penyertaan antaranya Sanggar Singamurthi dari Bali, Garasi Seni Benawa dari Jawa, Lambangsari dari Jepun, Japan Gamelan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi, Sumatra.

Kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Negeri Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Sekolah dan IPT yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Malaysia Sarawak.

Yusof berkata bengkel mengenai gamelan akan turut diadakan dengan kendalian tokoh gamelan dunia.

No comments:

Post a Comment