Tuesday, July 20, 2010

Terengganu Cadang Wujud Sebuah Lagi Litar Permotoran

Rozi Mamat (tengah) bersama replika tajaan program Kembara Belia Terengganu 2010 di Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihatan Dr. Azemi Che Hamid (dua dari kanan) dan Shamsul Nahar Md. Karim (dua dari kiri).

Kerajaan negeri Terengganu sedang menimbang untuk mewujudkan sebuah lagi litar dalam usaha mencungkil bakat baru dalam sukan permotoran di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri mendapati hampir 90 peratus remaja di negeri ini meminati sukan tersebut.

"Kerajaan negeri memandang berat perkara itu dan sedang mencari kawasan yang sesuai untuk pembinaan litar tersebut," katanya pada sidang akhbar mengenai Kembara Belia Terengganu (KBT) 2010 di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata Terengganu telah mempunyai sebuah litar yang terletak berhampiran Stadium Sultan Mizan di Gong Badak yang dilihat mampu mengatasi gejala Mat Rempit di negeri itu.

Sementara itu, seramai 100 belia bermotosikal bakal menyertai KBT selama lima hari bermula Sabtu ini.

Rozi berkata kembara itu bertujuan mendekatkan golongan belia dengan institusi pengajian tinggi, khususnya Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain menerapkan nilai murni dalam diri mereka.

Katanya, kembara anjuran UiTM Dungun dan syarikat UMW Pennzoil itu akan menjelajah Daerah Kuala Terengganu, Dungun, Marang, Besut, Setiu, Kuala Berang serta Kemaman dan menelan kos lebih RM100,000.

No comments:

Post a Comment