Wednesday, July 14, 2010

Nelayan Dihukum Gantung Kerana Bunuh Rakan

Seorang nelayan hari ini gagal menyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya kerana membunuh seorang rakan akibat perselisihan berkaitan dadah.

Korum tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Terengganu dan menolak rayuan Mohd Asmadi Yusof.

Mohd Asmadi, 38, didapati bersalah pada 28 Ogos 2002 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Aswadi Mohamad, 28, di Simpang 3, Pekan Merchang, Marang, Terengganu pada 8 malam, 2 September, tahun yang sama.

Dalam kes itu, seorang peniaga pasar malam Aidi Arman Abd Rahman dan isterinya Normah Ismail, telah memberitahu mahkamah bahawa Aswadi berada di gerai mereka yang menjual cakera padat ketika mangsa terjatuh di atas meja yang menempatkan barangan jualan.

Mereka melihat seorang lelaki memukul kepala Aswadi beberapa kali dengan seketul bata yang kemudiannya pecah akibat perlakuan tersebut.

Aswadi telah dikejarkan ke sebuah klinik sebelum dihantar ke Hospital Terengganu dalam keadaan koma dan meninggal dunia pada 6 Sept.

Adik mangsa, Aswanizam memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau mengecam Asmadi sebagai orang yang menendang muka dan dada abangnya sebanyak dua kali sebelum melarikan diri.

Hakim yang mendengar perbicaraan kes itu menolak pembelaan alibi Asmadi yang mendakwa dia tidak berada di tempat kejadian, sebaliknya di kawasan laut berhampiran Mersing.

Mahkamah turut menyifatkan pembelaan Asmadi sebagai rekaan dan penafian semata-mata.

No comments:

Post a Comment