Tuesday, July 6, 2010

OSC Online bantu atasi permohonan meluluskan pelan pemajuan

Sebanyak 96 peratus daripada permohonan meluluskan pelan-pelan pemajuan diselesaikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga Jun tahun ini dengan penambahbaikan portal Sistem Pusat Setempat (OSC) online.

Pembangunan OSC Online dengan peruntukan sebanyak RM3.8 juta dimulakan secara perintis pada 2008 di tujuh buah PBT, iaitu Majlis Bandaraya Johor Baharu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Kuantan, Majlis Perbandaran Sungai Petani dan DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata tempoh kelulusan keseluruhan melalui OSC Online adalah antara 120 hari atau kurang, berbanding sistem lama secara manual yang mengambil masa yang lebih panjang iaitu satu hingga dua tahun.

Bercakap kepada media selepas merasmikan seminar pemantapan pelaksanaan pusat setempat OSC DBKL di sini Isnin, beliau berkata pencapaian itu sekaligus menepati matlamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam meningkatkan penyelesaian pelan-pelan pemajuan daripada 89.3 peratus ke 95 peratus menjelang tahun 2012 melalui penggunaan OSC.

Ahmad Fuad berkata dalam meningkatkan keberkesanan OSC, DBKL telah mengadakan beberapa sesi dialog dengan sektor pembangunan hartanah di Kuala Lumpur iaitu Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia, Pertubuhan Perancangan Malaysia, Insurance Services Malaysia Bhd dan Institut Jurutera Malaysia.

"Dalam sesi dialog itu, DBKL turut menerangkan proses pelaksanaan OSC dalam menguruskan permohonan cadangan pembangunan serta dasar-dasar baru yang telah dibuat dalam mempertimbangkan permohonan pembangunan mengikut keperluan dan kehendak DBKL bagi mempercepatkan lagi keputusan permohonan dibuat," katanya.

No comments:

Post a Comment