Satu pameran antarabangsa yang mengetengahkan tiga tokoh ternama dunia dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keamanan akan diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selama tiga hari mulai 26 Julai ini.
Pameran Gandhi, King, Ikeda: Suatu Legasi Pembinaan Keamanan muncul untuk kali pertama di rantau ini dalam siri mempromosikan idea-idea keamanan sejagat tanpa kekerasan anjuran Martin Luther King, Jr. International Chapel, Morehouse College Amerika Syarikat.
Penganjuran pameran itu di negara ini ditaja oleh pertubuhan bukan kerajaan, Soka Gakkai Malaysia (SGM) dan AMAN Malaysia manakala di sini dijayakan dengan kerjasama Wakil Pelajar Cina (WPC) UMT.
Jurucakap penganjur, Phua Jiunn Kheng memberitahu Utusan Malaysia, pameran unik ini yang mendedahkan kehidupan Mahatma Ghandi, Martin Luther King, Jr. dan Daisaku Ikeda telah diadakan di 21 negara dan disaksikan oleh lebih 350,000 pengunjung.
Pameran ini menyampaikan mesej tentang kepimpinan individu, juga kelainan yang boleh dihasil atau dicorakkan oleh seseorang dalam usaha menggalakkan keamanan melalui tindak-tanduknya.
"Kehidupan tiga tokoh dari budaya dan negara berbeza menjejaki laluan yang sama, penuh dengan dedikasi dan pencapaian dalam usaha mengatasi masalah dan membela nasib orang kebanyakan.
''Keingkaran awam dan demonstrasi tanpa kekerasan Gandhi berjaya memenangi banyak kebebasan dan akhirnya memberikan kemerdekaan kepada 400 juta rakyat India ketika itu.
''Di Amerika, Dr. King komited terhadap keadilan dan keamanan, turut memberi inspirasi gerakan untuk orang awam dan hak asasi manusia, memberi harapan dan impian kepada golongan miskin di seluruh dunia.
''Peranan Ikeda sebagai seorang ahli falsafah, penulis, pujangga dan pendidik pula telah membawa kepada wujudnya demokrasi tanpa kekerasan terhadap struktur sosial Jepun," ujarnya.
Menurut beliau, mereka menyuburkan inisiatif akar umbi di peringkat antarabangsa, di samping mewujudkan dialog antara budaya dan antara kepercayaan serta menjalin kerjasama untuk keamanan sejagat.
Beliau menarik perhatian tokoh-tokoh ini telah berjuang dengan sikap tidak mementingkan diri dalam era masing-masing dan telah meninggalkan warisan yang terus bertahan untuk kemanusiaan, menerangi laluan untuk kesejahteraan manusia.
''Pameran secara percuma yang terbuka kepada orang ramai ini menghimpunkan foto, petikan dan penerangan berbentuk sejarah yang mereka lalui," ujarnya.
No comments:
Post a Comment