Friday, July 23, 2010

Pelajar diingat ambil iktibar

Sudah tiba masa bagi golongan pelajar khususnya Melayu untuk sama-sama bangkit dalam mempertahankan hak keistimewaan bangsa dan agama.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, langkah itu penting agar nasib masa depan orang Melayu di negara ini terus terbela manakala hak dan keistimewaannya tidak mudah diperkotak-katikkan mana-mana pihak.

Beliau juga mengingatkan golongan pelajar yang bakal menjadi pelapis kepimpinan akan datang supaya menjadikan apa yang berlaku di Singapura dan Pulau Pinang sebagai iktibar.

Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (empat dari kiri) bersama Syed Anuar (lima dari kiri) beramah mesra dengan pelajar yang menghadiri kursus kepimpinan prauniversiti di Akademi Kepimpinan GPMS, Batu Rakit semalam.

Jelasnya, pada masa ini, kaum Melayu di Singapura tidak lagi dianggap sebagai ‘pemilik asal’ negara berkenaan sebaliknya disebut sebagai ‘peranakan’.
Perkembangan itu, katanya, menunjukkan pemerintah negara berkenaan dengan terang-terang menolak sejarah hanya kerana mereka mempunyai kuasa.


“Saya ingat lagi sewaktu saya ke Singapura untuk menghadiri seminar anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini, tiada satu pun disebut bangsa Melayu dan begitu juga ketika saya ke muzium di negara itu, yang ada hanyalah ‘peranakan’.

“Perkara serupa berlaku di Pulau Pinang sekarang yang mana di negeri itu, kaum Melayu dianggap sebagai ‘peranakan’.


Justeru, marilah kita bangkit pertahankan hak keistimewaan bangsa kita,” katanya.


Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Kursus Kepimpinan Prauniversiti 2010 Parlimen Kuala Nerus di Akademi Kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Batu Rakit di Kuala Terengganu, semalam.


Kursus tiga hari bermula Selasa lalu dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia.

Turut hadir, Setiausaha Agung Gagasan merangkap Pengarah Akademi Kepimpinan GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad.

Seramai 98 pelajar tingkatan enam bawah dari enam buah sekolah menengah di sekitar kawasan Parlimen Kuala Nerus menyertai kursus berkenaan.

No comments:

Post a Comment