''Di Terengganu kami pernah membawa akademi bola sepak negeri muncul akademi terbaik untuk lima tahun berturut-turut, sebelum ia diserahkan kepada Kementerian Pelajaran. Terengganu juga berjaya mempertahankan kejuaraan Sukma Malaysia (Sukma) buat kali ketiga berturut-turut di Melaka, selain membekalkan lima pemain dalam skuad Harimau Muda. Biarpun tidak menampilkan ramai pemain luar, Terengganu masih boleh mencatat keputusan yang membanggakan dalam kempen Liga Super musim ini, apabila menduduki tangga ketiga liga di belakang Selangor dan Kelantan." - CHE MAT JUSOH
Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) yakin presidennya, Datuk Che Mat Jusoh akan diberi keutamaan dalam penilaian bagi mengisi salah satu jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Naib Presiden PBSNT, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof berkata, Che Mat merupakan tokoh paling senior berada di hierarki Naib Presiden FAM dan keupayaan serta komitmennya sudah teruji.
Beliau yang juga pengurus skuad Penyu berkata, Che Mat akan digandingkan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Ahmad Shah bagi memikul tanggungjawab besar itu,'' ujarnya.
Beliau percaya pemilihan Che Mat akan lebih membantu Presiden menjalankan tugas kerana lebih memahami perjalanan FAM sekian lama.
Menurut Sheikh Ahmad, Che Mat telah menjalankan tugasnya dalam Jawatankuasa Pertandingan liga dengan lancar biarpun ia tugas yang berat.
''Sudah tentu FAM mahu melihat orang yang betul-betul boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam keadaan tuntutan lebih mendesak.
''Saya percaya Ahli Majlis sudah tahu siapa yang sepatutnya dipilih tanpa perlu banyak berkempen.
''Bagi saya, Che Mat dengan latar sebagai bekas seorang pegawai tinggi kerajaan, ahli politik dan kepimpinan bola sepak negeri sekian lama boleh menjadi sandaran," ujarnya.
Semalam, Naib Presiden FAM itu mengingatkan semua calon yang bertanding agar tidak menafikan jasa dan usaha yang pernah dilakukan badan bola sepak negara itu selama ini semata-mata kerana hendak meraih undi pada pemilihan FAM, 31 Julai ini.
Che Mat, yang turut menjadi antara enam calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden berkata, beliau kesal apabila ada calon tampil dengan kenyataan seolah-olah tiada perkara bagus pernah dilakukan FAM dan dia perlu 'masuk' untuk memperbaiki keadaan.
Katanya, sesiapa saja berhak untuk bertanding tetapi biarlah niat untuk menyertai FAM ikhlas demi membantu meningkatkan bola sepak tempatan, bukan semata-mata kerana mengejar jawatan atau 'glamour'.
"Ini nasihat saya sebagai Naib Presiden kepada semua calon yang mahu bertanding... (tidak kira apa jawatan), janganlah cakap mereka hendak bertanding kerana FAM tak buat kerja dengan baik selama ini... Semua orang di dalam FAM telah banyak berkorban masa dan tenaga serta berusaha keras untuk melakukan tugas dengan sebaik mungkin.
"Ia adalah perkara biasa bila dalam banyak-banyak tugas yang anda lakukan, kadang kala hasilnya sangat bagus, kadang kala sederhana dan ada masanya pula tidak begitu bagus. Tetapi, membawa pulang pingat emas Sukan SEA selepas 20 tahun adalah satu pencapaian yang cemerlang.
"Projek skuad Harimau Muda juga adalah satu idea yang baik. Sekarang kita sudah merangka masa depan pasukan kebangsaan dengan lebih tersusun. Memang kita masih memerlukan beberapa idea baru dan pembaikpulih tetapi bukanlah satu perubahan besar yang kedengaran seolah-olah kita tak bagus langsung,'' ujar Che Mat ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ketika diminta memberikan pandangan atas tiket calon Timbalan Presiden pula, Che Mat, yang memiliki pengalaman 35 tahun dalam pengurusan bola sepak tempatan berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk membuat keputusan siapa yang layak dipilih memegang jawatan No. 2 FAM itu.
Tegasnya lagi, tiada sebarang kempen dilakukan kerana FAM bukan badan politik yang harus mewujudkan senario lobi melobi, sebaliknya ia hanya badan sukarela yang menuntut pengorbanan tinggi daripada mereka yang ingin melibatkan diri secara serius.
"Biarlah saya dinilai atas apa yang pernah saya lakukan selama ini, bukan dipilih kerana kempen saya, ini bukan politik, kita tidak perlu melobi untuk satu jawatan sukarela.
"Saya rasa saya telah memberikan yang terbaik dalam semua jawatan yang pernah saya sandang selama ini, baik ketika bersama Terengganu (Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu sejak 1998) mahupun FAM (Naib Presiden sejak 2007).
Sama ada ia cukup baik buat perwakilan, terserah kepada mereka untuk membuat penilaian.
"Bagaimanapun ingin saya tegaskan, saya adalah seorang pemimpin yang amat mementingkan pembangunan bola sepak.
''Di Terengganu kami pernah membawa akademi bola sepak negeri muncul akademi terbaik untuk lima tahun berturut-turut, sebelum ia diserahkan kepada Kementerian Pelajaran.
"Terengganu juga berjaya mempertahankan kejuaraan Sukma Malaysia (Sukma) buat kali ketiga berturut-turut di Melaka, baru-baru ini.
''Malah, kami juga membekalkan lima pemain dalam skuad Harimau Muda.
''Saya berpegang kepada prinsip, jangan menang dengan sebuah pasukan 'segera' tetapi kami kena menang bersama pemain-pemain yang kami didik dan lahirkan sendiri,'' katanya lagi.
Biarpun tidak menampilkan ramai pemain luar, Terengganu masih boleh mencatat keputusan yang membanggakan dalam kempen Liga Super musim ini, apabila menduduki tangga ketiga liga di belakang Selangor dan Kelantan.
No comments:
Post a Comment