Saturday, July 17, 2010

Perjuangan UMNO Belum Selesai - Muhyiddin


Ahmad Said disambut sebelum merasmikan mesyuarat bahagian Kuala Nerus, semalam - Gambar Zulkifli Putra.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjuangan Umno masih belum selesai selagi sasaran memastikan orang Melayu menguasai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi belum tercapai.

Beliau berkata, setelah dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada 1990 hanya 18 peratus daripada sasaran itu berjaya dicapai dan sehubungan itu semangat DEB akan diteruskan untuk memastikan 30 peratus kekayaan ekuiti negara dicapai oleh orang Melayu.

"Dalam keadaan pembangunan yang pesat, pencapaian masyarakat Melayu dalam penguasaan ekonomi tidak memuaskan, dahulu ada DEB yang menetapkan 30 peratus kekayaan negara mesti dikuasai Melayu, namun setelah dasar itu tamat, sasaran itu masih belum dicapai.

"Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri secara terang menyatakan selagi mana masyarakat Melayu tidak mencapai sasaran 30 peratus, pimpinan negara akan terus memperjuangkan untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Turut hadir kesemua wakil rakyat Umno kawasan Kuala Nerus iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman, ADUN Teluk Pasu Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan ADUN Tepoh Ramli Noh.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dasar yang dilakukan kerajaan untuk mencapai sasaran itu tidak lagi seperti dahulu yang memastikan setiap syarikat bumiputera mahupun pun bukan bumiputera mestilah 30 peratus ekuiti dimiliki orang Melayu bersama sekatan-sekatan tertentu.

Beliau berkata dengan keadaan eknomi dunia yang lebih kompetitif pada masa kini, kerajaan mengamalkan dasar yang lebih terbuka serta liberal dengan membantu orang Melayu berdasarkan meritokrasi, kelebihan dan kemampuan yang ada pada mereka.

Katanya soal kemiskinan di negara ini, masih diberi perhatian utama oleh kerajaan tanpa mengira bangsa walaupun sebahagian besar telah diatasi dan ia masih dibincangkan di peringkat kabinet mahupun pentadbiran.

Katanya, begitu juga dalam bidang pertanian, walaupun sebahagian besar orang Melayu terlibat dalam bidang itu dengan menjadi petani, penternak dan nelayan, namun daripada segi hasil ia masih terbatas.

Ini kerana, katanya, teknologi yang digunakan masih tidak canggih yang menyebabkan produktiviti rendah dengan pulangan pendapatan yang kecil sehingga masih ramai petani berpendapatan sederhana, malah ada yang dikategorikan dalam golongan miskin.

Katanya, Umno juga akan terus membantu orang Melayu memberikan perhatian kepada soal pelajaran kerana hanya dengan ilmu pengetahuan dapat membangunkan modal insan yang cemerlang dalam semua bidang.

Pada perjumpaan tersebut, Muhyidin turut meluluskan sebanyak RM1 juta kepada parlimen itu bagi membina empat buah balai raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju meneruskan cadangan pembinaan sebuah Sekolah Sukan di Kompleks Sukan Gong Badok yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.


No comments:

Post a Comment