Saturday, July 17, 2010

Pengurangan Subsidi Disambut Baik

Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Laguna Gong Batu, Terengganu menerima penyelarasan subsidi kerana ia memberikan kebaikan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Dalam Sangkar Laguna Gong Batu, Setiu Johari Awang, 50, berkata secara amnya penyelarasan subsidi itu masih boleh diterima.

Beliau mengulas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi yang diumumkan kerajaan kelmarin.

Rata-rata langkah kerajaan disambut baik oleh rakyat memandangkan ianya bertujuan untuk memberikan mereka lebih kebaikan, terutama dari segi pendidikan dan kesihatan.

Bagi Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP) tindakan kerajaan itu merupakan pelan komprehensif bagi pengurusan kewangan negara yang lebih mapan.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata bagaimanapun kerajaan perlu memastikan peniaga dan pengeluar tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menaikkan harga barangan lain.

"Kenaikan harga petrol RON 95 dan gula adalah tindakan betul dan ini akan mengalakkan orang ramai serta industri untuk lebih mengurangkan penggunaan kedua-dua barangan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari Jumaat.

Beliau berkata gula yang merupakan bahan toksik sepatutnya tidak perlu diberikan subsidi memandangkan ia merupakan bahan yang boleh membawa banyak kemudaratan kepada kesihatan dan sepatutnya wang itu digunakan untuk perbelanjaan lain yang lebih manfaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengurangan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa hari ini.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

No comments:

Post a Comment