Daya kreativiti pencipta blog kini boleh diterjemahkan di dalam blog yang menarik apabila pertandingan mencipta blog anjuran Kementerian Belia dan Sukan kini berlangsung dari 18 Julai hingga 5 Ogos ini.
Pegawai Belia dan Sukan Kemaman, Ruhisyam Ibrahim berkata, pertandingan itu dijalankan susulan kursus Bloggers melibatkan 120 pemimpin belia terlatih di daerah ini dan dia ingin menghidupkan persatuan belia dengan wujudnya blog yang aktif di Kemaman.
“Saya menyasarkan sehingga 200 penyertaan. Buat masa ini hampir 75 penyertaan telah diterima, dan tema yang dibawa adalah Patriotisme asas 1 Malaysia,” katanya.
Menurutnya, idea pembinaan blog itu dihasilkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shaberry Cheek dan beliau sendiri akan menyampaikan hadiah kejuaraan yang dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos ini di Padang Astaka, Chukai.
“Juara bakal menggondol RM3,600 termasuk peralatan komputer bernilai RM300, dan dua kategori disediakan iaitu 18 hingga 25 Tahun serta 26 hingga 40 Tahun,” katanya.
Menurutnya, pertandingan itu dijalankan dengan kerjasama MZF Computer Centre, Chukai, Majlis Belia daerah Kemaman, Parlimen Kemaman dan Pergerakan Puteri serta Pemuda UMNO Bahagian Kemaman.
“Hasrat Kementerian Belia dan Sukan harus direalisasikan untuk membina perubahan baru dalam kalangan belia.
"Sudah menjadi hasrat Kementerian untuk mencipta wadah baru dalam kalangan belia dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Menurutnya, tema patriotisme dipilih memandangkan aspek jati diri semakin hilang dalam kalangan belia menyebabkan pihaknya terpanggil untuk mewujudkan tema itu melalui pertandingan terbabit.
“Melalui pertandingan ini, setiap peserta akan mencari maklumat mengenai sejarah kemerdekaan negara, dasar dan perundangan negara serta maklumat terkini.
"Secara tidak langsung setiap peserta mengalami perubahan minda dan membaca maklumat yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, hanya lima bloggers terbaik akan dipilih untuk ke peringkat akhir sebelum juara pertandingan diumumkan pada 6 Ogos depan.
No comments:
Post a Comment