Friday, July 30, 2010

Pusat Penyelidikan Kerajaan Terengganu & UMT di Tasik Kenyir

Ahmad Said (kiri) bersama Dr. Aziz Deraman melepaskan benih ikan kelah ke dalam sangkar Pos Kawalan Sungai Leban di Tasik Kenyir, semalam.

Kepelbagaian sumber alam dan ekosistem Tasik Kenyir adalah sumber tidak ternilai dan perlu diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan.

Atas alasan itu, kerajaan negeri Terengganu melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di tasik buatan manusia tersebut.

Pusat penyelidikan tersebut akan bertindak sebagai sebuah pusat pengumpulan data saintifik bagi flora, fauna dalam ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar tersebut.

Ia juga akan membantu mempelbagaikan hidupan ikan di tasik buatan manusia di Hulu Terengganu itu.

Kepelbagaian ikan yang hidup di tasik berkenaan turut menarik ‘kaki pancing’ untuk melakukan aktiviti rekreasi berkenaan di sana.

Selain itu, tasik tersebut turut menempatkan Santuari Kelah di Sungai Petang.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pusat penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu akan dibangunkan di sebuah kawasan seluas 20 hektar di kawasan teluk tasik berkenaan.

‘‘Pusat penyelidikan ini akan bertindak sebagai pusat pengumpulan data santifik flora dan fauna, ekosistem perairan dan kawasan persekitaran tasik sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai makmal lapangan untuk penyelidikan dalam bidang akuakultur, tumbuhan, haiwan, tanah dan airnya.

‘‘Ia juga akan membantu kita menambah kepelbagaian hidupan ikan yang bersesuaian di Tasik Kenyir dan menjadikan ia sebagai syurga pemancing pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan dan Pecah Tanah Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT, di Petang Island Resort, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, semalam.

Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman. Aziz mengiringi Ahmad ke tapak Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT di Tanjung Teluk Perikanan dan Sungai Leban serta sangkar Pos Kawalan Sungai Leban bagi pelepasan anak ikan kelah.

Ahmad Said berkata, antara spesis ikan yang akan diperbanyakkan termasuk ikan lampam dan kelah.

Prof Aziz pula berkata, maklumat hasil penyelidikan di pusat itu juga boleh menyokong usaha Ketengah menjadi Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan pendidikan untuk ekosistem hutan tropika.

‘‘Saya berharap maklumat dan penyelidikan UMT ini akan membantu memantapkan usaha Ketengah untuk memelihara kawasan Tasik Kenyir dan persekitaran,” ujarnya.

Prof Aziz berkata, populasi ikan kelah di Tasik Kenyir dijangka bertambah dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila Pusat Penyelidikan Tasik Kenyir UMT di Tanjung Teluk Perikanan dijadualkan dibina awal tahun depan.

Pusat penyelidikan seluas 20 hektar itu juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan data saintifik flora dan fauna sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai pusat pelancongan pendidikan terulung di negara ini.

“Pusat penyelidikan ini turut mewujudkan pusat pembenihan ikan di Kuala Sungai Sepetang yang akan meningkatkan populasi kelah di kawasan tasik ini pada masa depan.

“Setakat ini, kami berjaya menghasilkan lebih 2,000 anak kelah dalam makmal dan akan dilepaskan ke dalam sangkar di Tasik Kenyir terlebih dahulu serta tidak dimakan pemangsa,” katanya.

Prof Aziz berkata, pembinaan pusat penyelidikan dengan Ketengah itu juga bertindak sebagai makmal lapangan bagi penyelidikan pelbagai bidang seperti akuakultur, haiwan, tanah, dan air yang mendatangkan faedah kepada penyelidik serta penuntut UMT.

“Sebenarnya kami berusaha selama 15 tahun untuk mendapatkan kawasan di Tasik Kenyir dan hasil penyelidikan serta pengumpu-lan data yang diperoleh kelak membantu pihak berkuasa merancang pembangunan atau pemuliharaan tasik ini,” jelasnya.

Katanya, pusat penyelidikan itu turut menyediakan kemudahan penginapan antara 30 hingga 40 bilik dan kemudahan awam termasuk jalan masuk, jeti, tempat menyimpan bot, makmal pengajian sosioekonomi serta tapak aktiviti perkhemahan.

Prof Aziz berkata, UMT adalah pusat pengajian tinggi pertama yang bertapak di kawasan Tasik Kenyir.

Beliau memberiahu, pusat penyelidikan tersebut dijangka dimulakan pada awal tahun depan dengan pembinaan fasa pertama itu akan memerlukan peruntukan kira-kira RM5 juta.

Beliau menambah, ia akan dilengkapkan dengan makmal untuk pengajian sosioekonomi bagi masyarakat setempat dan orang asli, makmal sains akuatik serta makmal biodiversiti tumbuhan dan biodiversiti.

‘‘Pelbagai infrastruktur lain juga akan dibina seperti kemudahan penginapan. tapak perkhemahan, kemudahan utiliti, jeti dan tempat simpanan bot, surau dan tempat simpanan minyak,” ujarnya.

Prof Aziz memberitahu, sebuah bangunan pembenihan dan kemudahan kolam serta tapak semaian akan dibina di Sungai Petang, Tasik Kenyir.

‘‘Ia dibina untuk menyokong kajian pengeluaran benih ikan kelah serta ikan air tawar lain dan pembiak bakaan tanaman dan buah-buahan nadir,” ujarnya.

Katanya, dengan wujudnya pusat penyelidikan itu, ia akan berperanan menghasilkan benih-benih ikan dan tumbuhan yang diancam kepupusan seperti ikan kelah.

‘‘Ini secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan sumber semulajadi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepelbagaian hidupan di darat di tasik berkenaan juga akan dijadikan sebagai kawasan penyelidikan untuk pelajar universiti berkenaan.

‘‘Pusat penyelidikan ini akan menjadi tempat latihan amali dan pengajaran kepada pelajar UMT yang mengikuti bidang pengajian perikanan, akukultur, biodiversiti, agroteknologi dan pengurusan,” katanya.

Utusan Malaysia & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment