Saturday, July 17, 2010

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Disaran Jadi Program Realiti

PESERTA dari Sarawak (dari kiri) Shahrizan Sarbini, Al-Zubair Zainon dan Azwan Kajang bergambar bersama hadiah yang dimenangi menjuarai Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat kebangsaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 17 Julai. - Gambar Utusan

Kerajaan negeri Terengganu mencadangkan supaya pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia dijadikan program realiti di televisyen bagi menarik penyertaan lebih ramai rakyat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh berperanan sebagai stesen penyiar program tersebut.

"Seperti juga program realiti Imam Muda dan Akademi Al-Quran yang menarik minat pelbagai golongan, pertandingan ini juga dijangka mampu menarik ramai penonton.

"Paparkan kisah tokoh negara, peristiwa-peristiwa sejarah yang diolah menjadi skrip dengan baik, ia dilihat pendekatan yang baik untuk menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat termasuk golongan muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat Kebangsaan 2010 di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mewakili Menteri Besar Datuk Ahmad Said. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad.

Pertandingan yang masuk tahun kelapan itu dimenangi peserta Sarawak iaitu Al-Zubair Zainon, Azwan Kajang dan Shahrizan Sarbini melalui kisah "Memori Sebuah Tirai Besi" untuk membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan piala pusingan serta sijil penyertaan.

Tempat kedua dirangkul peserta Kedah iaitu Maudah Ali, Anis Shaari, Yusra Abdul Hamad melalui "1Malaysia Dalam Konteks Pendidikan: Segalanya Bermula Daripada Sebuah Cita-cita", manakala Raja Sarah Mayiza Raja Mohamood, Lim Soon Vin dan Puvanamala Sivavikkraman dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan kisah "Pasir Salak" menduduki tempat ketiga.

Pemenang tempat kedua menerima wang tunai RM2,500 selain piala, piala pusingan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga pula mendapat RM2,000, piala, piala pusingan serta sijil penyertaan.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau menyambut baik cadangan tersebut dan akan menyediakan kertas kerja mengenainya untuk dibentangkan pada Mesyuarat Pengurusan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam masa terdekat.

"Cadangan ini akan dikemukakan dalam mesyuarat untuk pertimbangan dan jika ia dipersetujui, RTM akan melaksanakannya," katanya.

No comments:

Post a Comment