Saturday, July 17, 2010

Peserta Program Jaya Diri Berjaya Tingkat Pendapatan Sehingga 50 Peratus

Lebih 80 peratus daripada 4,296 peserta Program Jaya Diri (PJD) kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 50 peratus melalui projek yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, pendapatan kebanyakan peserta PJD yang sebelum ini adalah sebanyak RM500, telah meningkat kepada RM1,000 dan ada juga mencecah RM1,500 sebulan.

Beliau berkata sehingga akhir bulan lalu, terdapat 482 pusat PJD di negeri tersebut yang menjalankan perniagaan dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan, kraf tangan, pertukangan dan bengkel.

Katanya tahun ini seramai 64 peserta menerima bantuan pinjaman modal berjumlah RM259,000 untuk memajukan perniagaan mereka.

"Hasil bimbingan dan semangat peserta, empat peratus daripadanya juga telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka kepada lebih daripada RM1,500 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada 20 peserta berdikari PJD Parlimen Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong Jerteh, hari ini.

No comments:

Post a Comment