Saturday, July 3, 2010

Rahsia Terengganu juara Sukma XIII

Oleh Airunnisa Alaui (utusanterengganu@utusan.com.my)

Ahad lalu diisytiharkan cuti umum di Terengganu bagi meraikan kejayaan penuh bermakna kontinjen negeri menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka iaitu mengekalkan kejayaan dua tahun lalu semasa menjadi tuan rumah.

Ia membuktikan kejuaraan dua tahun lalu bukan sekadar 'jaguh kampung' kerana kelebihan beraksi di tempat sendiri, tetapi sebagai kuasa dalam bidang sukan yang perlu diberi perhatian dengan melahirkan jaguh-jaguh di peringkat negara.

Kejayaan itu memperlihatkan keberkesanan pembangunan sukan negeri selain sokongan yang diperlihatkan oleh rakyat.

Kalau dahulu Terengganu bagaikan sekadar pelengkap jumlah kontinjen, 2008 dijadikan pemangkin bagi memecahkan tembok penghalang untuk negeri ini muncul di senarai teratas dan terbaru di Melaka dengan membawa pulang 47 pingat emas.

Semasa lebih 400 anggota kontinjen bersedia untuk berlepas, laungan semangat 'Terengganu Nelang' (Terengganu handalan) bergema di Dewan Besar Universiti Darul Iman (UDM) ketika Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyerahkan bendera negeri.

Laungan itu diterjemahkan dengan kehebatan anak-anak negeri dalam acara yang disertai apabila turut membawa pulang 30 pingat perak dan 43 gangsa.

Sukma adalah kemuncak kejayaan bagi negeri ini ketika atlet Terengganu yang semakin ramai mengibarkan Jalur Gemilang di kejohanan-kejohanan antarabangsa termasuk Azizulhasni Awang yang menjadi pelumba negara pertama meraih pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Berbasikal Piala Dunia 2008 dan perak pada tahun ini.

Selain itu, Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTDL), Anuar Manan turut mengharumkan nama Terengganu apabila merangkul kejuaraan dalam pertandingan itu.

Ramai jaguh sukan yang mempunyai potensi besar untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa seperti Siti Rajiah Ali yang telah memenangi tujuh pingat emas dalam acara kanu pada Sukma XIII.

Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh membuktikan Terengganu dengan komitmennya boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam melahirkan ramai atlet sukan yang hebat untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Itu pandangan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said yang kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran, Solat Hajat dan Perpisahan beliau di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak dekat Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis tersebut juga, lebih 500 orang atlet turut hadir menyaksikan penyerahan tugas Abdul Rahin kepada Rozi Mamat yang dilantik memegang portfolio Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang baru bermula semalam.

Bagi Rahin, Terengganu kini merupakan kuasa baru dalam arena sukan yang perlu dijadikan contoh kepada negeri lain untuk membangunkan sukan dalam usaha melahirkan atlet berwibawa untuk membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, sudah tiba masanya rahsia kejayaan yang diperoleh atlet sukan negeri itu dikongsi bersama demi memajukan sukan negara.

"Kejayaan Terengganu jelas membuktikan negeri ini mempunyai satu mekanisme yang mantap dalam membentuk program pengurusan pembangunan sukan yang ideal iaitu melalui bengkel 'Terengganu Nelang' yang diadakan untuk semua atlet di negeri ini.

"Melalui bengkel berkenaan ia menerapkan pelbagai konsep pembangunan sukan yang merangkumi program latihan, pembangunan atlet serta struktur kejurulatihan yang merupakan elemen paling penting dalam sesebuah pembangunan sukan.

Katanya, kejayaan Terengganu tidak akan berhenti begitu sahaja dengan pertukaran portfolionya apabila kini digalas oleh Rozi yang mempunyai latar belakang belia yang aktif dalam membangunkan kemajuan sukan negeri.

Tambahnya, beliau yakin melalui pendekatan pembangunan seperti penganjuran bengkel 'Terengganu Nelang' akan membolehkan kontinjen sukan Terengganu meraih kejayaan demi kejayaan.

"Saya percaya Rozi mempunyai pendekatan sendiri dalam mengekalkan kecemerlangan sukan negeri ini selain semangat juang yang tinggi di kalangan atlet.

"Jika itu dapat digabungkan tidak mustahil untuk kita sekali lagi menjulang kejayaan kali ketiga berturut-turut dalam Sukma yang bakal berlangsung di Pahang pada 2012 nanti," jelasnya.

Sementara itu, Rozi yang mengakui agak gementar apabila diberikan tanggungjawab baru itu melahirkan rasa bangga apabila berpeluang menerajui sebuah kontinjen sukan yang hebat.

Katanya, beliau yakin mekanisme yang digunakan oleh pemimpin terdahulu berupaya mengekalkan kejayaan sukan di negeri itu.

"Kita sudah ada hala tuju dan perancangan oleh orang terdahulu, jadi tiada salahnya kita meneruskannya memandangkan ia membuahkan kejayaan kepada kita. Bagaimanapun aspek kekeluargaan di dalam komuniti juga perlu diterapkan agar kita dapat bekerjasama antara satu sama lain.

"Memperoleh kejayaan adalah mudah, namun untuk mengekalkan sesebuah kejayaan bukannya senang dan ia memerlukan kesungguhan yang tinggi oleh semua pihak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment