Wednesday, July 7, 2010

Sebanyak 56 Stesen NGV Dijangka Siap Dibina Tahun Ini

Terengganu akan mendapat satu stesen gas asli untuk kenderaan (NGV) yang dijangka siap dibina tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abd Karim berkata sebanyak 56 stesen NGV dijangka siap dibina menjelang hujung tahun ini bagi melengkapkan sasaran awal kerajaan untuk membina 200 stesen NGV di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini sebanyak 144 buah stesen NGV dibina dan telah beroperasi, iaitu 86 di Lembah Klang, Johor (28), Negeri Sembilan (11), Melaka (7), Pulau Pinang (3), Kedah (4), Perak (4) dan Terengganu (1).

Katanya, ini adalah bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat daripada masyarakat khususnya pemandu teksi di Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang.

"Baki sebanyak 39 buah masih dalam peringkat pembinaan dan 17 lagi lokasi sedang dalam peringkat analisis kesesuaian. Keutamaan akan diberikan kepada lokasi yang berdekatan dengan saluran paip gas," katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Johari dalam soalannya ingin tahu jumlah stesen minyak yang menawarkan perkhidmatan jualan produk CNG (Gas Asli Mampat) untuk kegunaan kenderaan NGV di Malaysia sehingga Mac lepas dan apakah perancangan kerajaan bagi mempromosikan penggunaan NGV di kalangan pengguna kenderaan.

Rohani berkata kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menggalakkan penggunaan NGV, antaranya membantu pusat servis bagi perkhidmatan NGV melalui pengecualian 100 peratus cukai import bagi alat penukaran.

"Petronas NGV merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam memantau dan menyelia pusat servis yang layak mendapatkan pengecualian ini.

"Sehingga kini, sebanyak 110 buah pusat servis bagi perkhidmatan NGV telah beroperasi di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata selain itu, cukai jalan bagi kenderaan juga diberikan potongan sebanyak 25 peratus bagi yang menggunakan bi-fuel atau dual fuel dan 50 peratus bagi monogas yang enjin kenderaan mengunakan enjin NGV sahaja.

No comments:

Post a Comment