Tuesday, July 13, 2010

Sekolah Imtiaz Besut Tanggungjawab Yayasan Terengganu

Ahmad Said menyampaikan e-Book di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, Bukit Payong semalam.

Kerajaan negeri memutuskan untuk meletakkan Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz di Bukit Keluang, Besut di bawah pengurusan Yayasan Terengganu (YT) sama seperti empat sekolah seumpama itu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tiada sebarang pengecualian dikenakan ke atas sekolah Imtiaz di Besut kerana statusnya sama dengan sekolah Imtiaz lain yang beroperasi di negeri ini.

Menurutnya, Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz di Bukit Keluang itu menelan kos RM145 juta dan setakat ini sudah 90 peratus siap.

Beliau menjelaskan, adalah sesuatu yang ganjil jika sekolah berkenaan diurus sendiri di bawah pengurusan syarikat tertentu kerana jika dilaksanakan ia akan memberi kesan kepada sekolah Imtiaz yang lain.

"Saya berpendapat adalah sesuatu yang ganjil kalau (Imtiaz di Besut) diletakkan di bawah satu syarikat kerana sekolah lain pun mahu juga berbuat demikian. Oleh itu adalah tidak wajar kita letakkannya di bawah satu syarikat.

"Kita tubuh unit Imtiaz ini sama saja, dari segi pengurusan adalah di bawah YT," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan e-Book dan pakaian sekolah untuk sekolah-sekolah rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Resak, Marang semalam.

Beliau diminta mengulas desakan UMNO Bahagian Besut supaya kerajaan negeri mengekalkan bangunan Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang, Besut sebagai premis baru Sekolah Menengah Imtiaz dan bukannya bagi tujuan lain.

Desakan itu merupakan antara usul yang dibawa oleh Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan UMNO Bahagian Besut, Mohamad Yusof pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu
semalam yang kemudiannya diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara perwakilan.

Menteri Besar berkata, adalah wajar pengurusan semua sekolah Imtiaz diletakkan di bawah tanggungjawab YT bagi mengawal selia dan pentadbirannya.

Katanya, sejurus kompleks itu siap nanti, ia menjadikan lima sekolah jenis itu beroperasi di negeri ini setakat ini.
Dua buah lagi bakal dibina di Kemaman dan Marang dengan sasaran sebuah sekolah jenis itu di setiap daerah di Terengganu.

No comments:

Post a Comment