Sunday, July 18, 2010

Sekolah Sukan Lewat Dilaksana Kerana Ada Kekangan

Muhyiddin berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, kelmarin - Gambar Zulkifli Putra.

Cadangan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said supaya sekolah sukan dibina di Terengganu tidak pernah dilupakan oleh Kerajaan Pusat.

Apalagi cadangan itu sudah diterima dan diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Pusat akan meneruskan pembinaan sekolah sukan di Kuala Nerus, di Kuala Terengganu, seperti yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12, dua tahun lalu.

Pada acara penutup SUKMA ke-12 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Gong Badak di sini pada 2008, Abdullah mengumumkan kerajaan Pusat bersetuju dengan cadangan Ahmad Said supaya sebuah sekolah sukan dibina berhampiran stadium berkenaan.

Ia bertujuan melahirkan lebih ramai atlit dan ahli sukan berkemahiran tinggi daripada kalangan anak tempatan untuk, selain memanfaatkan sepenuhnya kompleks sukan yang dilengkapi pelbagai prasarana sukan kelas satu.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, bagaimanapun kelewatan pembinaan sekolah sukan itu bukan bermakna kerajaan Pusat tidak menunaikan janji, sebaliknya belum dapat dilaksanakan berikutan beberapa kekangan.

“Kadang-kadang pemimpin peringkat tertinggi sudah setuju, tetapi peringkat bawahan belum dapat melaksanakannya.

“Namun, ia bukan bermakna kerajaan menipu atau lupa pada janji. Tetapi, kita akan lihat semula mengenainya dan akan terus laksanakan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Kuala Nerus, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Timbalannya, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Penerangan UMNO Kuala Nerus, Muhammad Ramli Nuh.

Muhyiddin berkata, pembinaan sekolah sukan itu juga dilihat selaras dengan hasrat kerajaan Pusat untuk mengembalikan semangat kesukanan di sekolah, bagi melahirkan generasi yang serba boleh, bukan saja dalam aspek akademik, tetapi juga pembangunan insaniah dan sukan.

“Sekolah juga menjadi medan untuk menunjukkan bakat bukan saja dalam akademik, tetapi juga sukan dan seni umpamanya. Tetapi, entah di mana silapnya mungkin terlalu hendak straight A, kita tertinggal pembelajaran sukan,” katanya
.

No comments:

Post a Comment