Wednesday, July 28, 2010

Taman laut Pulau Redang tidak ditutup sepenuhnya

Persatuan Pengusaha Resort Kepulauan Redang Terengganu semalam menafikan dakwaan kononnya taman-taman laut di perairan Pulau Redang ditutup sementara.

Presidennya, Lee Yat Loong menjelaskan, taman laut di pulau berkenaan yang menjadi lokasi bagi aktiviti menyelam dan 'snokerling' tidak ditutup sepenuhnya.

"Hanya Teluk Bakau yang ditutup sementara dari keseluruhan Pulau Redang dan di sana masih ada 20 lagi kawasan menyelam yang tidak ditutup," katanya pada sidang akhbar bagi memperbetulkan kekeliruan mengenai penutupan taman laut di pulau berkenaan di Kuala Terengganu, semalam.


Pada 21 Julai lalu, Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut, Abdul Jamal Mydin mengumumkan mengenai penutupan sembilan kawasan di pulau-pulau yang diwarta sebagai taman laut serta tiga buah pulau lain dalam perairan taman laut.

Katanya, penutupan itu disebabkan kawasan terbabit mengalami kelunturan karang sehingga mencapai tahap 60 hingga 90 peratus berkuatkuasa 2 Julai hingga 31 Oktober tahun ini.

Yat Loong memberitahu, beliau tampil memperbetulkan perkara itu berikutan beberapa pengusaha resort telah dihubungi pelancong tempatan dan asing termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat mengenai penutupan taman laut itu.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perancangan dan Pengurusan Taman Laut, Shahima Abdul Hamid turut menyifatkan kekeliruan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kenyataan media seperti mana disiarkan pada 21 Julai lalu adalah jelas.

Ketika ditanya mengenai cadangan persatuan untuk menutup sementara tiga lagi kawasan taman laut, beliau menjelaskan, perkara itu akan dikaji terlebih dahulu dan pihaknya akan ke Pulau Redang untuk tindakan susulan.

"Tindakan penutupan sementara ini adalah satu prosedur biasa yang sering dilakukan bagi tujuan pemuliharaan," jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Persatuan berkenaan dengan kerjasama Reef Check Malaysia Bhd. telah menjalankan kajian dan mendapati tiga kawasan taman laut iaitu Pulau Ekor Tebu, Teluk Che Isa dan Tanjung Lebah ditutup hingga Mac tahun depan.

No comments:

Post a Comment