Friday, July 30, 2010

Tuanku Nur Zahirah Lancar Selendang Songtik, Gabungan Songket Dan Batik

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan melancarkan selendang "Pink Jambu Songtik" iaitu gabungan songket dan batik di Kuala Lumpur semalam.

Rekaan songtik oleh Pink Jambu menggunakan kain daripada syarikat Royal Terengganu Songket Textile, berhasil mencantum kedua-dua kain warisan Malaysia itu.

Pengarah Rekaan Songtik, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pink Jambu Tengku Marina Ibrahim berkata idea mencipta Songtik bermula dua tahun lepas apabila beliau dijemput oleh Royal Terengganu Songket, satu jenama di bawah Yayasan Tuanku Nur Zahirah untuk mereka beberapa helai songket bagi dimuatkan dalam buku mereka mengenai revolusi songket.

"Semasa kami menyiapkan buku tersebut, saya diperkenalkan kepada Dr June Ngo (pengarah produksi dan rekaan Royal Terengganu Songket). Beliau menjelaskan kepada saya mengenai batik. Walaupun saya berada dalam industri ini kira-kira 18 tahun, saya beroleh lebih banyak pengetahuan selepas menemuinya.

"Kolaborasi ini sangat bermakna kerana kami banyak belajar untuk memodenkan dan melakukan ilustrasi kedua-dua hasil kraf ini secara moden," katanya pada sidang akhbar sebelum majlis pelancaran.

Beliau berkata rekaan selendang tersebut diinspirasikan oleh bunga tempatan seperti bunga melur, bunga kenanga dan bunga cempaka selain bahan terbaik seperti sutera dan gentian lurex digunakan dan dihasilkan dengan tangan secara berhati-hati.

Sementara itu, June Ngo berkata mereka mengadakan banyak perbincangan berhubung konsep dan idea, dengan setiap songtik berlainan antara satu sama lain iaitu kedua-dua sisi selendang memiliki corak batik dan songket.

No comments:

Post a Comment