Friday, July 16, 2010

UMNO Terengganu Eratkan Hubungan Dengan UMNO Libaran

Menteri Besar menyampaikan cenderahati kepada sebahagian pemimpin UMNO Libaran pada jamuan makan malam di Sandakan semalam.

Bukan sekadar dekat di hati, UMNO Terengganu dan UMNO Libaran memang dekat di mata.


Inilah yang dapat digambarkan oleh suasana mesra pertemuan antara pemimpin UMNO Bahagian Libaran dan UMNO Terengganu yang diadakan di sebuah hotel di Sandakan malam semalam.

Rombongan UMNO Terengganu yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengadakan lawatan ke kawasan anak angkatnya – UMNO Bahagian Libaran – semalam dengan acara takilmat pada sebelah petang dan jamuan makan malam di Sabah Hotel.

UMNO Bahagian Libaran yang diketuai oleh Datuk Seri Musa Aman kini menjadi anak angkat kepada UMNO Terengganu, selain UMNO Bahagian Tangga Batu, UMNO Bahagian Bagan Datoh di sebuah bahagian di Pulau Pinang.

Bagaimanapun oleh kerana ada acara rasmi di Kota Kinabalu, Musa mewakilkan Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Zakaria Mohd Edris bagi pertemuan itu.

Zakaria yang juga ADUN Gum Gum menyatakan kegembiraan dan mengharapkan kedatangan UMNO Terengganu ini bukan kali pertama dan kali terakhir.

Ahmad Said pula mengharapkan kerjasama Bahagian UMNO seperti ini diteruskan bagi menguatkan kerjasama jentera parti bagi menjamin kemenangan berterusan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya akui UMNO Sabah begitu kukuh dan pertalian erat antara Perhubungan UMNO antara negeri akan memperkukuhkan lagi jentera parti bagi menghadapi pilihan raya ke 13 nanti.

“Saya yakin di Sabah, rakyat akan menolak Parti Keadilan Rakyat dan PAS dan ini memberikan kelebihan kepada UMNO Sabah, berbanding di Terengganu,” katanya berucap pada majlis makan malam semalam.

Ahmad Said yang kini Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan Ketua UMNO Bahagian Kemaman yakin kepimpinan Musa pada peringkat Bahagian dan Negeri mampu memperteguhkan lagi UMNO di Sabah, selain mempereratkan kerjasama antara parti dalam BN.

Ikut serta dalam rombongan Menteri Besar ialah Ketua Wanita, Ketua Pemuda serta Ketua Puteri UMNO Negeri selain beberapa pemimpin UMNO bahagian Terengganu yang lain.

Pemimpin UMNO Bahagian Sandakan berbual mesra dengan Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment