Saturday, July 17, 2010

Hope sediakan peluang jadi sukarelawan bantu penyu

Bagi mereka yang mencintai alam sekitar dan ingin bersama dalam program pemuliharaan penyu, Program Bantulah Penyu Kita (Hope) menawarkan peluang itu.

Menurut Pengerusi Hope, Wan Ahmad Azimi Wan Azmin, mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan dan merasai pengalaman baru dalam kehidupan boleh menyertai program berkenaan.

Katanya, program Hope telah bermula pada Mac lalu dengan mengambil pendekatan projek konservasi merangkumi pemeliharaan dan pemuliharaan habitat penyu di Pantai Tanjung Tukas, Pulau Perhentian.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia di semalam, projek yang diberi nama 'Perhentian Community Turtle Project' itu merupakan projek utama Hope pada tahun ini.

"Melalui projek ini kita amat mengalu-alukan penyertaan orang awam dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan menjaga habitat penyu ini.

"Program ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti menjaga sarang penyu daripada haiwan pemangsa, membersihkan kawasan pantai daripada sisa buangan plastik yang memudaratkan haiwan itu, mengumpul data serta aktiviti bersama masyarakat," katanya.

Wan Ahmad Azimi berkata, sukarelawan yang menyertai program tersebut berpeluang melihat sendiri penyu menetas dengan anggaran bilangan seekor hingga empat ekor seminggu di pantai tersebut.

Katanya, sejak ia dimulakan, penemuan terbesar Hope apabila seekor penyu lipas yang dikatakan telah lima tahun tidak muncul ditemui di perairan Pulau Perhentian namun ia mengalami kecederaan di bahagian abdomennya.

Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari di laman www.helpourpenyu.com.

No comments:

Post a Comment