Thursday, July 1, 2010

UMT pilihan penuntut luar negara

Penubuhan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 2001 membuka mata ramai penuntut tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Penolong Pendaftar Kanan Sekolah Siswazah UMT, Zul-Atfi Hashim berkata, saban tahun apabila tibanya musim pendaftaran penuntut ke universiti, rata-ratanya memilih UMT dan sentiasa ada peningkatan dari segi permohonan.

“Peningkatan permohonan penuntut menyambung pengajian di UMT menunjukkan mereka menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada kami untuk memberi didikan sempurna sehingga berjaya menamatkan pengajian.

“Perkara ini berlaku kerana UMT mempunyai pakar dalam pelbagai bidang ditawarkan dan segala kelengkapan mencukupi untuk pembelajaran serta penyelidikan yang bakal penuntut lalui,” katanya pada majlis Pendaftaran Pelajar Pasca Siswazah UMT Semester Julai 2010/11 di Auditorium, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah.

Menurutnya, penuntut lepasan ijazah berpeluang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD di UMT tanpa perlu mempertikaikan kepakaran tenaga pengajar kerana mereka adalah antara yang terbaik serta sentiasa komited dalam menjalankan tugas masing-masing.

Beliau berkata, UMT selaku sebuah universiti pilihan di Terengganu, Malaysia dan luar negara mempunyai kebenaran (geran) penyelidikan dalam pelbagai bidang dan tidak menghalang siswazah melakukan kerja penyelidikan mereka.

“Dengan adanya semua kelengkapan sempurna, ia mampu menarik lebih ramai penuntut tempatan dan luar negara untuk menjadikan UMT sebagai sebuah universiti pilihan mereka,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 530 penuntut termasuk dari negara luar, antaranya Libya seramai lapan orang hadir mendaftar sebagai graduan Sarjana dan PHD di universiti berkenaan pada majlis Pendaftaran Pelajar Pasca Siswazah UMT Semester Julai 2010/11.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment