Thursday, July 1, 2010

Buka Ladang Sawit Baru Bantu Golongan Miskin

Pengerusi TDM, Senator Datuk Roslan Awang Chik menyampaikan replika cek kepada Menteri Besar pada majlispenyampaian dividen di Wisma Darul Iman semalam.

Kerajaan Terengganu merancang membuka sekurang-kurangnya 40,000 hektar ladang sawit bagi membantu golongan miskin serta memberi pendapatan baru kepada Yayasan Terengganu (YT).

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sebahagian daripada kawasan ladang sawit yang akan dibuka itu telah dikenalpasti dan perjanjian akan ditandatangani dengan TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri bagi kerja pembersihan dan penanaman sawit.

Beliau berkata Terengganu kini mempunyai kira-kira 5,500 rakyat miskin dan miskin tegar dan pihaknya yakin jumlah itu dapat dikurang atau dihapuskan dalam tempoh sekurang-kurangnya empat tahun projek berkenaan bermula.

"Sebahagian daripada 40,000 hektar ladang yang akan dibuka itu pula akan diberikan untuk YT bagi membolehkan YT membiayai pinjaman, biasiswa pelajar anak-anak Terengganu serta pengurusan yayasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian dividen 2009 TDM Berhad sebanyak RM20.5 juta kepada Kerajaan Terengganu termasuk anak syarikat kerajaan negeri yang mempunyai saham dalam TDM Berhad. TDM Berhad memperoleh keuntungan kira-kira RM77.5 juta pada tahun kewangan 2009.

Ahmad Said berkata pembukaan ladang untuk YT itu penting sebagai hasil utama yayasan itu pada masa depan yang kini hanya bergantung kepada hasil minyak dan gas.

"Satu ketika nanti kemungkinan pengeluaran gas dan minyak tidak ada lagi di Terengganu, maka ladang berkenaan dijadikan sandaran baru untuk yayasan bergerak pada masa depan dan ketika ini YT membelanjakan lebih RM100 juta setahun untuk bidang pendidikan dan pengurusan," katanya.

No comments:

Post a Comment