Tuesday, July 6, 2010

UniSZA berusaha semarakkan gamelan Terengganu

Ahli kumpulan Sahabat Gamelan (SaGa) UniSZA mengadakan demonstrasi sempena majlis pelancaran kumpulan gamelan berkenaan di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Gamelan Terengganu yang dikatakan berasal dari Riau telah melalui proses asimilasi setempat sehingga mewujudkan 'wajah' dan memberikan identiti tersendiri sebagai simbol kepada ketinggian dan kehalusan seni warisan negeri.

Namun, tahap perkembangannya mempunyai masa pasang dan surut sehingga ada kalanya tradisi yang dibanggakan itu dengan teras naungan istana di zaman silam terasa bagaikan sudah hampir dilupai.

Bagi kalangan pencinta seni, perkembangan itu meresahkan mereka yang ingin melihat kesenian itu terus mewarnai kehidupan masyarakat.

Mungkin atas sebab itu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi Pusat Seni dan Warisannya mengambil inisiatif menubuhkan Sahabat Gamelan (SaGa) UniSZA dalam usaha mengekal dan menyuburkan seni muzik dan tarian yang memancarkan sebahagian daripada kepelbagaian seni budaya negeri.

Ia juga bagi meningkatkan apresiasi dan kecintaan masyarakat agar seni itu terus kekal dan dipertahankan sebagai warisan yang menjadi kebanggaan bersama di samping mencari pendekatan kreatif dari segi persembahan untuk meningkatkan daya tarikannya.

Kumpulan Sahabat Gamelan UniSZA yang dilancarkan baru-baru ini merupakan gabungan antara pelajar, kakitangan universiti serta aktivis-aktivis seni yang akan bergerak dengan lebih terancang di samping membolehkan bakat-bakat baru dipupuk bagi menguasai kemahiran itu.

Turut bersama dengan warga kampus itu termasuk bekas-bekas anggota Kumpulan Kebudayaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUKTRA), ahli-ahli Briged Seni Terengganu, Sutera Tari Dance Group dan peminat kesenian itu.

Majlis pelancaran Kumpulan Sahabat Gamelan UniSZA itu disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Alias Daud. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pendaftar UniSZA, Profesor Madya Dr. Nik Wan Omar.

Menurut Alias, penubuhan kumpulan itu adalah bersifat persahabatan seni demi kegemilangan kesenian gamelan Terengganu dan UniSZA amat berbangga dapat menjadi pencetus kepada usaha itu.

Ini kerana katanya, usaha tersebut turut dihargai dan dihayati oleh tokoh-tokoh seni gamelan Terengganu yang terkenal pada satu ketika dahulu.

Melalui penubuhan kumpulan itu, beberapa program dan aktiviti telah disusun dalam usaha mengekalkan kesenian gamelan Terengganu bukan sahaja kepada warga UniSZA, tetapi kepada seluruh penggiat seni gamelan di negeri itu.

Alias memberitahu, pada masa ini UniSZA menerusi Pusat Seni dan Warisannya mempunyai Kumpulan Gamel Sari yang terdiri dari kalangan kakitangan universiti di bawah bimbingan bekas pemuzik SUKTRA dan Kelab Gamelan Pelajar yang dilatih oleh Sutera Tari Dance Group.

Katanya, sebagai kemuncak penubuhan Kumpulan Sahabat Gamelan itu, UniSZA akan turut mengadakan persembahan sempena Festival Gamelan Sedunia 2010 anjuran kerajaan negeri yang akan berlangsung di Taman Shahbandar bermula 23 Julai hingga 27 Julai ini.

Seramai 66 peserta termasuk kakitangan dan pelajar UniSZA serta Sahabat Gamelan akan terlibat dengan persembahan Taridrama Gamelan Perang Garuda.

Festival Gamelan Sedunia itu akan disertai kumpulan gamelan dari rantau ini termasuk dari Bali dan Pulau Jawa di samping kumpulan gabungan negara Eropah dan Jepun yang memberi peluang kepada orang ramai mengenali pelbagai bentuk gamelan dari seluruh dunia.

Festival tersebut adalah antara program yang diadakan bagi menarik pengunjung melawat Muzium Terengganu sepanjang tahun ini dan semoga kewujudan Sahabat Gamelan UniSZA dapat memberi nafas baru kepada gamelan Terengganu agar seni itu tidak berakhir hayatnya di muzium kelak.


Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment