Monday, July 5, 2010

YPU Labur Lebih RM40 Juta Bina T-Hotel

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu melabur lebih RM40 juta untuk membina dua hotel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan di Banggol Tuan Muda di sini.

Pengurus Besarnya, Azmi Razik berkata ini merupakan hotel yang pertama dibina oleh YPU dalam usaha meningkatkan martabat Bumiputera di dalam bidang perhotelan.

Bercakap dengan Bernama di sini hari ini, beliau berkata kedua-dua hotel bertaraf tiga bintang dan dinamakan "T'Hotel" akan dapat mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini apabila ia beroperasi pertengahan tahun 2012 nanti.

Katanya T'Hotel di LTSM, setinggi tiga tingkat, mengandungi 76 bilik dibina dengan kos pembinaan RM15 juta, mampu memberi kemudahan kepada pelancong yang masuk dari LTSM.

Azmi berkata hotel yang dibina di kawasan seluas lebih satu hektar itu juga mempunyai pelbagai kemudahan lain seperti dewan konvensyen, pusat jualan, T'Shop dan juga cafe.

Dalam masa yang sama, YPU membelanjakan RM26 juta untuk membina sebuah kompleks usahawan di Kampung Banggol Tuan Muda, di Kuala Terengganu.
Azmi berkata YPU merancang menggunakan kompleks usahawan itu untuk dijadikan hotel, perkampungan batik, pusat latihan usahawan dan ruang pejabat.

Beliau berkata kompleks tersebut, yang telah hampir siap dibina, dijangka akan menjadi daya tarikan kerana kawasan itu berdekatan dengan pusat pengajian tinggi dan kawasan perumahan.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata YPU akan mewujudkan T'Shop pertama di Kedah apabila kedai itu dibuka di Sungai Petani dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata dengan modal RM100,000, T'Shop yang merupakan kedai serbaneka, akan menjual pelbagai produk keluaran Terengganu seperti batik, songket, barangan tembaga dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment