Semalam (Sabtu, 3 Julai 2010) ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mencadangkan supaya semua Pengerusi Perhubungan UMNO di lima negeri ditukar untuk memantapkan lagi UMNO negeri masing-masing.
Menurut Menteri Pertahanan itu usul itu akan dikemukakan dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO tidak lama lagi. Lima negeri ialah Selangor (diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak), Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Pulau Pinang (Dr. Zahid Hamidi), Terengganu (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein) dan Kedah (Datuk Seri Shafie Afdal).
Pilihanraya umum dijangka diadakan pada tahun 2013 berdasarkan perlembagaan negara yang menetapkan pilihanraya umum hendaklah diadakan setiap lima tahun sekali. Tetapi di Malaysia biasanya empat tahun parlimen sudah dibubar. Ini bermakna pilihan raya umum ke 13 akan diadakan pada tahun 2012, lebih kurang satu tahun setengah dari sekarang.
Oleh itu jika UMNO mahu dimantapkan di kelima-lima negeri tersebut, pertukaran Pengerusi Perhubungan hendaklah dilantik segera supaya mereka dapat merangka strategi untuk menawan kembali empat negeri yang kalah iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Kedah.
Di Terengganu pula BN menang tetapi Datuk Ahmad Said yang dilantik Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru.
Tetapi selepas Najib menjadi Presiden UMNO pada tahun lepas, Ahmad Said diturunkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO berikutan beberapa ADUN yang pro Idris Jusoh membuat bantahan dengan perlantikan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Dengan cadangan Dr. Zahid itu yang kebetulan pula diumum di Kemaman yang mana Bahagiannya diketuai oleh Ahmad Said, maka peluang Ahmad untuk mengetuai UMNO Terengganu amat cerah sekali.
Tambahan pula krisis UMNO Terengganu yang dicetuskan oleh beberapa ADUN itu sudah pulih. Maka sudah sampai masanya bagi lima negeri ini mempunyai Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru yang semestinya anak tempatan yang akan mengetuai jentera pilihanraya UMNO dan BN pada pilihanraya umum akan datang.
Oleh itu cadangan Dr. Zahid ini amat wajar disokong dan disegerakan oleh Majlis Tertinggi UMNO demi kepentingan UMNO di lima negeri tersebut.
Soal siapa yang dilantik Pengerusi oleh pucuk pimpinan parti tidak harus dipertikai kerana sudah tentu pucuk pimpinan mengambilkira pelbagai aspek sebelum perlantikan Pengerusi baru dibuat.
No comments:
Post a Comment