Thursday, August 5, 2010

15 Negara Dijangka Sertai Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan

Peserta dari 15 negara dijangka mengambil bahagian pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu dari 5hingga 7 November depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata negara yang dijangka mengambil bahagian termasuk Perancis, Australia, Chile, Amerika Syarikat, Uruguay, Thailand, Indonesia dan New Zealand.

"Taklimat mengenai kejohanan tersebut baru diberikan oleh pihak penganjur," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad berkata kerajaan negeri dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) sebagai penganjur kejohanan itu, sedang menunggu jawapan daripada negara terbabit.

Beliau berkata hanya satu kategori dipertandingkan kali ini iaitu 120 kilometer dan lebih 80 peserta dijangka memeriahkan kejohanan yang diadakan buat kali keenam itu.

Sementara itu, jurucakap RTES ketika dihubungi berkata setakat ini, tujuh negara telah mengesahkan penyertaan mereka iaitu Perancis (dua peserta), Australia (dua), Chile (satu), Amerika Syarikat (dua), Uruguay (satu), Thailand (lima) dan Indonesia (satu).

Beliau berkata seperti biasa, ramai peserta Malaysia dijangka mengambil bahagian pada kejohanan tersebut.

Katanya, kejohanan itu adalah satu daripada usaha mempromosi Terengganu di luar negara.

No comments:

Post a Comment