Kes denggi meningkat minggu lepas di 10 negeri dan Terengganu tidak terkecuali.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dari segi jumlah kes ia adalah Kelantan (46 kes), Perak (31 kes), Terengganu (23 kes), Kedah dan Melaka (18 kes), Johor (10 kes), Selangor (lapan kes), Sabah (empat kes) dan Perlis (tiga kes).
Katanya, bilangan kematian juga meningkat 48 peratus bagi tempoh antara Januari dan 21 Ogos lepas menjadikan jumlah keseluruhan 101 berbanding 68 kes kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Dalam tempoh yang sama juga katanya, terdapat peningkatan lapan peratus atau 2,306 kes denggi, menjadikan jumlah keseluruhan 31,529 kes berbanding dengan 29,223 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu seorang pelajar sekolah dan seorang wanita hamil merupakan antara enam orang yang mati akibat demam denggi minggu lepas.
Tiong Lai dalam satu kenyataan semalam, pelajar berusia 16 tahun itu meninggal dunia di Batu Caves, manakala wanita hamil yang berumur 24 tahun itu tinggal di Gelang Patah, Johor Bahru.
Tiga kes kematian berlaku di Kelantan melibatkan seorang peniaga ikan berumur 30 tahun dari Kuala Krai, seorang penoreh getah berumur 24 tahun juga dari Kuala Krai dan seorang pekerja swasta berumur 46 tahun yang tinggal di Kota Bharu.
Katanya, satu lagi kematian dicatatkan di Pulau Pinang melibatkan seorang wanita yang bekerja sebagai penjaja makanan.
Sementara itu, pemilik premis yang dikesan membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes akan dikenakan kompaun maksimum RM500 berbanding RM100 sebelum ini.
Menteri itu berkata selain itu pihak yang "menyorok" maklumat mengenai tempat pembiakan nyamuk Aedes dan tidak melaporkan kes denggi kepada pegawai kesihatan daerah, juga akan dikenakan kompaun maksimum RM500.
Beliau berkata tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memperkukuh aktiviti pencegahan denggi dengan mengenakan kompaun yang lebih tinggi.
Liow berkata Kementerian Kesihatan turut meningkatkan pelaksanaan program "Communication for Behavioural Impact" (Combi) dan promosi serta pengiklanan bagi membanteras denggi di lokasi hot spot terutama menjelang perayaan.
Katanya penguatkuasaan terhadap wabak deman denggi sentiasa dijalankan dengan 1.7 juta premis diperiksa dari Januari sehingga kini dan daripada jumlah itu 24,747 premis dikesan membiak nyamuk Aedes dan 672 kes dibawa ke mahkamah.
No comments:
Post a Comment