Saturday, August 28, 2010

Status Pemain Import Diketahui Selepas FAM Bermesyuarat Oktober

Kemasukan semula atau tidak pemain import untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan akan terjawab apabila Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat Oktober depan.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata satu daripada agenda pada mesyuarat itu nanti adalah membincangkan kemungkinan pemain import dibenarkan merancakkan semula Liga Malaysia.

Beliau berkata kewajaran pemain import untuk beraksi semula dalam liga tempatan itu kini dikaji oleh Jawatankuasa Liga Malaysia dan formula terbaik sedang dicari bagi membawa masuk pemain luar untuk bermain dalam liga tempatan.

"Berkaitan pemain import, ia akan dikaji secara informal oleh Jawatankuasa Liga Malaysia atau jawatankuasa pertandingan dan saya harap satu pendekatan dapat dibincang pada Oktober atau November ini," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 102 mangsa ribut di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kampung Tiram, Kuantan semalam.

Tengku Abdullah bertitah antara isu yang sedang dikaji oleh jawatankuasa terbabit adalah berkaitan tangga gaji pemain import sekiranya mereka dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia nanti.

Pada 9 Ogos lepas, bekas naib presiden FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar meminta badan induk sukan bola sepak negara mempertimbangkan semula kemasukan pemain import demi merancakkan semula Liga Super yang kian suram.

Ini kerana katanya kehadiran pemain asing dapat menarik minat penonton untuk kembali semula ke stadium bagi menyaksikan perlawanan liga itu.

Pada Ogos 2008, FAM mengambil tindakan drastik dengan mengumumkan bahawa khidmat pemain import tidak lagi dibenarkan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2009.

Tengku Abdullah berkata mesyuarat FAM pada Oktober akan turut membincangkan hala tuju baru badan induk bola sepak negara itu selepas pemilihan jawatankuasa barunya baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment