Saturday, August 14, 2010

3 Kempen Kesihatan Sempena Ramadan

Sempena Ramadan tahun ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengambil langkah proaktif melaksanakan tiga kempen serentak iaitu Kempen Makanan Selamat, Nafas Baru Bermula Ramadan dan Kurangkan Pengambilan Gula.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar berkata, kempen itu dijangka menerima sambutan positif masyarakat memandangkan kehadiran bulan puasa dapat mendisiplinkan mereka.

Katanya, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara intensif telah dijalankan oleh JKN dan mendapati bahawa tahap pencemaran mikrobiologi pada makanan-makanan di bazar-bazar Ramadan semakin memuaskan pada tahun lalu.

Katanya lagi, kadar pelanggaran mikrobiologi adalah 27.6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 53.2 peratus (2008), 41.3 peratus (2007) dan 57.8 peratus (2006).

"Operasi yang dijalankan pada Ramadan tahun lalu mendapati 2.8 peratus sampel makanan tidak menepati standard Jumlah Kiraan Plat (TPC) iaitu petunjuk berkaitan dengan situasi am.

"Sebanyak 12.8 peratus sampel makanan pula tidak menepati standard Koliform (petunjuk kebersihan), 9.4 peratus dikesan tercemar dengan bakteria E.coli (bakteria yang berasal dari najis) dan 8.2 peratus dikesan tercemar dengan bakteria Staphylococcus Aureus," katanya kepada pemberita sejurus melancarkan kempen berkenaan di bazar Ramadan Dataran Syahbandar semalam.

Sebelum itu, beliau bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri turut melawat bazar berkenaan dan mengagihkan risalah-risalah keselamatan makanan, apron dan sarung tangan kepada peniaga.

Dr. Abdul Rahman memberitahu, pada Ramadan tahun lalu, makanan jenis kerabu mencatatkan peratus pencemaran tertinggi iaitu 77.8 peratus diikuti nasi pelbagai (75 peratus), masakan ikan dan daging (45.1 peratus), pasta yang merangkumi mi, bihun dan laksa (25 peratus), sayuran (22.6 peratus), kuih-muih (19.7 peratus) dan air minuman (12.4 peratus).

Beliau turut menasihatkan peniaga-peniaga bazar Ramadan agar mengamalkan panduan makanan selamat yang ditetapkan oleh JKN serta menasihatkan pengguna supaya turut peka dengan isu berkaitan.

Mengenai Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan, beliau menjelaskan strategi JKN adalah membantu perokok-perokok berhenti merokok kerana peluang untuk berjaya lebih tinggi pada bulan puasa.

"Individu yang memerlukan maklumat untuk berhenti merokok, JKN juga membuka Gerai Berhenti Merokok di bazar-bazar Ramadan bagi memudahkan mereka mendapatkan nasihat dan bantuan," ujarnya.

Bagi Kempen Kurangkan Pengambilan Gula, Dr. Abdul Rahman turut menyarankan agar peniaga-peniaga serta pengeluar produk makanan menyediakan alternatif kepada pengguna dengan pilihan produk yang dilabel rendah gula atau bebas gula.

No comments:

Post a Comment