Sejumlah 4,600 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikerah mengawasi 202 jalan maut atau berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara pada musim perayaan tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, operasi tersebut akan bermula seminggu sebelum hari perayaan dan berakhir seminggu kemudian.
"Penguatkuasaan akan dijalankan selama 24 jam dengan meminimumkan operasi statik bagi mengelak kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat, yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau berkata, pada musim perayaan kali ini juga, bilik kawalan di semua pejabat JPJ negeri dan ibu pejabat akan beroperasi 24 jam sehari.
Katanya, JPJ akan menempatkan anggota penguat kuasa di 36 terminal bas di semua negeri bagi memeriksa tayar, brek, buku log kenderaan dan sebagainya manakala pihak polis, menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, akan mengadakan ujian air kencing terhadap pemandu bas ekspres.
Pada 25 Julai lalu, JPJ berkata pihaknya sedang mengenal pasti jalan-jalan raya yang bakal dilabel sebagai jalan ‘sakaratulmaut’ dalam usaha membendung kemalangan jalan raya di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Salim Parlan berkata, ia dilakukan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi memudahkan pihaknya memantau jalan-jalan berbahaya dengan lebih berkesan.
‘‘JPJ negeri sudah diminta mengenal pasti jalan ‘sakaratulmaut’ itu dan pengawasan 24 jam akan dilakukan di laluan tersebut,’’ katanya di Temerloh.
Terdahulu, beliau yang mewakili Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan merasmikan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat negeri Pahang, di Felda Jengka 25.
Menurut Salim, sehingga kini, pihaknya belum mengenal pasti jumlah sebenar laluan ‘sakaratulmaut’ itu.
Beliau berkata, pemantauan bersepadu yang dilakukan diharap dapat mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini agar lebih bersopan di jalan raya.
Jelasnya, pemandu yang didapati memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu akan disaman serta-merta.
No comments:
Post a Comment