Sunday, August 8, 2010

Masalah wang, dadah antara punca dera kanak-kanak

Penderaan terhadap kanak-kanak - Gambar Hiasan

Perbalahan keluarga, mengikut teman lelaki, penagihan dadah dan masalah kewangan adalah antara punca utama yang dikenal pasti bagi kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di negeri ini.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zakaria Abu Bakar berkata, masalah penderaan kanak-kanak itu perlu dipandang serius kerana ia dibimbangkan memberi kesan jangka panjang.

Malah katanya, kes penderaan kanak-kanak juga meningkat setiap tahun iaitu 23 kes pada 2007 dan meningkat kepada 34 kes pada 2008, serta naik kepada 38 kes pada tahun lalu.

Lebih membimbangkan, sebanyak 24 kes dilaporkan setakat ini bagi tahun ini, iaitu tiga kes membabitkan kanak-kanak bawah tiga tahun, satu kes membabitkan kanak-kanak usia empat hingga enam tahun, lapan kes bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun selain 12 kes lagi bagi kanak-kanak berusia 13-18 tahun.

“Berdasarkan rekod, 12 kes disebabkan perbalahan keluarga dilaporkan pada 2009 dan empat kes pada tahun ini. Mengikut teman lelaki pula menjadi punca kedua tertinggi, iaitu tujuh kes bagi 2009 dan sembilan kes bagi tahun ini.

“Masalah penagihan dadah juga turut menyumbang kepada kepada kes penderaan kanak-kanak dan mengikut rekod, tiga kes dilaporkan pada 2009 dan ia meningkat kepada empat kes pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kami Prihatin peringkat Daerah Marang di Dewan Sivik Binjai Rendah di Marang kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan.

Hadir sama, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Noor Hayati Zaman dan pegawai kanan Daerah Marang.

Program tersebut adalah anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Marang dengan kerjasama jabatan kerajaan dan badan sukarelawan Daerah Marang.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, antara punca lain menyebabkan berlakunya kes penderaan kanak-kanak adalah pendera mengalami masalah kesihatan mental, terlibat dengan jenayah, gila seks, panas baran, terabai, ibu bapa kanak-kanak sudah meninggal dunia dan keberatan menjaga atau memelihara kanak-kanak.

“Jenis penderaan yang dibuat juga berbeza, antaranya terdampar atau buang bayi, diabaikan, penderaan seksual, penderaan fizikal dan penderaan emosi serta psikologi.

“Sebab itu, sekarang kita memperhebatkan kempen Kami Prihatin di setiap daerah bagi memastikan kes seperti ini dapat dikekang dari awal dengan menekankan kesan serta akibat tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment